Pages

Wednesday, September 12, 2018

Kilas dalam Kias


Ulasan Buku
Tajuk: Kilas dalam Kias
Penulis: Pahrol Mohamad Juoi
Penerbit: Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.
Tahun Terbit: 2017
ISBN: 978-967-15561-0-8
Harga: RM25.00

Buku setebal 210 halaman ini mengandungi 22 bab yang menyentuh pelbagai situasi masyarakat di sekitar kita. Penyampaian secara santai menggunakan dialog percakapan seharian menjadikan setiap cerita yang disampaikan hidup dan dekat di hati. Penggunaan dialog dan monolog menjadikan buku ini dekat kepada pembaca.

Seperti kata penulis dakwah boleh dilakukan dengan berbagai cara mengikut keadaan dan situasi penerima. Namun prinsip asas adalah kasih sayang. Semasa melakukan dakwah, kasih sayang diterjemahkan dengan cara hikmah, pengajaran yang baik dan berdebat yang baik.
Profesor Dr. Hamka menegaskan,

“Dakwah itu mengajak, bukan mengejek. Dakwah itu menyejukkan bukan memojokkan. Dakwah itu mengajar, bukan menghajar.”

Setiap bab memberikan situasi yang berbeza namun sangat terkesan bagi yang membaca. Secara umum terdapat kisah keluarga, kisah orang agama dan kisah kehidupan Islam. Salah satu kisah menceritakan bagaimana seorang isteri yang menjaga agama berjaya mengislamkan suami dan seluruh keluarga suaminya. Cerita yang dikisahkan oleh suami memberikan satu saranan bahawa doa adalah senjata yang paling ampuh namun bukan dalam tempuh yang singkat.

Kisah orang agama dan masjid juga menjadi satu fokus yang unik oleh penulis. Melalui bab bertajuk “Bila orang agama tidak ‘beragama’”, “Apabila orang masjid memboikot” dan “’Agama’ orang agama”. Antara isu diketengahkan ialah pandangan masyarakat kepada golongan agama yang tidak melaksanakan Islam dengan betul. Pemilihan fokus dakwah yang menjadikan Islam sebagai alat untuk mencapai sesuatu. Serta dakwah secara serkap jarang dengan orang yang belum dikenali. Ini dapat membuka minda pembaca supaya sentiasa menjadikan Islam sebagai landasan utama.

Sebagai contoh ungkapan “untuk maju kita mesti amalkan Islam” dengan “amalkan Islam kita akan maju”. Ungkapan seperti mempunyai maksud yang sama namun sebenarnya amat jauh sekali pengertiannya. Mengamalkan ajaran Islam akan menjadikan kita lebih bahagia dan model kepada Islam. Dengan akhlak pasti akan ada yang tertarik dengan Islam.

Namun pada masa kini kita lebih suka untuk menjadikan Islam sebagai alat bagi mencapai sesuatu hajat. Cara tersebut menjadikan kita lebih sukar untuk melakukan dakwah kepada masyarakat. Pandangan yang negatif juga menjadi penghalang kepada kejayaan. Penulis juga ada menyentuh pada sesuatu masa perlu juga untuk kita mempunyai ilmu supaya tidak terpedaya dengan orang yang cuba mengambil kesempatan.

Walaupun kita bijak namun tidak berilmu akan menjadikan kita mangsa kepada keadaan. Maka penuhi dada dengan ilmu dan berserah kepada Pencipta untuk memandu kita dalam kehidupan ini. Apabila ditimpa musibah penulis ada berkongsi doa untuk di amalkan bagi memudahkan urusan.
“Wahai tuhan yang Maha Hidup, Wahai Tuhan yang Maha Berdiri sendiri. Dengan rahmat Mu aku memohon pertolongan. Perbaiki lah untuk ku urusan ku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”

Amalkan doa tersebut supaya mendapat pertolongan Allah. Sebagai seorang hamba yang sentiasa ingin berada dalam kebahagiaan kita perlu tahu apakah jenis kebahagiaan tersebut. Perkara berkaitan dengan kebahagiaan disebutkan dalam bab 16. Kebahagiaan adalah sesuatu yang subjektif, ia perlu dirasakan bukan dilihat. Kita menjadi tidak bahagia apabila kita menyandarkan kebahagiaan kepada sesuatu seperti bila kaya maka bahagia, ramai kawan baru bahagia dan bermacam-macam lagi.

Kebahagiaan terletak dalam diri kita mengikut acuan yang disediakan. Kebahagiaan orang tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur kebahagiaan kita. Setiap orang mempunyai tahap kebahagiaan yang berbeza. Kehidupan adalah satu perkongsian bukan satu persaingan, maka jalani hidup kita mengikut kemampuan dan masa kita.

Kebahagiaan akan dapat dirasai apabila kehidupan ini dirasakan sebagai satu tanggungjawab. Perlu dilakukan mengikut keperluan dan masa yang sesuai. Bukan menjadikan orang lain sebagai ukuran dan persaingan. Penulis juga ada menceritakan berkaitan denagn takdir, terutamanya berkaitan dengan jodoh. Sebagai hamba kita perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah, kerana Allah adalah mengikut sangkaan hambanya.

Sentiasa bersyukur dan bersedekah boleh dijadikan amalan untuk kita menerima segala suatu yang berlaku terhadap diri dan keluarga.

Buku ini sesuai untuk bacaan semua lapisan masyarakat, sesuai untuk dijadikan sebagai bahan perbincangan bersama keluarga dan sahabat.

Kesimpulan

Proses dakwah mempunyai banyak cara namun melalui sikap dan akhlak adalah cara yang paling mudah untuk dilakukan seharian.

Islam perlu dijadikan matlamat, bukan sebagai alat.

Sentiasa bersyukur dan berdoa bagi mencapai kebahagiaan dan berkongsilah untuk berjaya.

#ceritasyah



Wednesday, September 5, 2018

Penulis


Salam sejahtera,

Saya mendoakan anda sentiasa sihat dan mendapat keberkatan dalam apa jua yang dilakukan pada hari ini. Aminn.

Hari ini sempat pergi berjalan-jalan ke Tesco dan Giant. Alang-alang dah sampai ke Tesco singgah sekejap di kedai buku. Bukan nak beli pun cuma nak lihat tajuk-tajuk buku. Ingat hendak singgah sekejap namun hampir sejam melihat buku yang berbagai jenis. Pastikan menjadi rutin supaya lebih banyak maklumat yang diperoleh dari tajuk-tajuk buku terkini di pasaran.

Ramai penulis baharu yang muncul, ini berkat usaha mereka meluahkan perasaan dengan penulisan di blog dan FB. Hasil nukilan yang bertahun-tahun akhirnya menjadi buku. Malah mereka sendiri pun tidak berniat untuk menjadikan buku namun penerbit yang mencari mereka. Inilah hasil apabila kita sentiasa komited melakukan sesuatu yang diminati. Perkongsian perkara yang baik pasti akan menghasilkan pulangan yang baik.

Pemasaran buku pada masa kini amat berbeza kerana penulis juga menjadi satu ikon yang perlu menarik peminat sendiri. Penulisan adakah semata-mata bakat? Bakat dapat menjadikan penulis itu mudah untuk bermain bahasa. Mengikut tuan Zamri Muhammad jurulatih penulisan, setiap penulis perlu lebihkan proses pembacaan supaya lebih banyak idea boleh dikembangkan.

Manakala bagi meningkatkan pengetahuan pembacaan perlu dilakukan dalam bidang yang ingin dikuasai. Seperti kata pakar kewangan tuan Azizi Ali, bagi menjadi pakar dalam sesuatu bidang kita perlu membaca 20 buku berkaitan dengan bidang dalam masa tiga tahun. Ia bukan sekadar membaca namun perlu memahami isi-is penting sesebuah buku.

Lebih banyak maklumat yang dimasukkan dalam minda lebih mudah untuk kita menulis dan meluahkan kembali maklumat berkaitan bidang. Penghasilan penulisan akan menjadi lebih bernas dan dapat di kongsi dengan orang ramai.

#ceritasyah

Friday, August 31, 2018

Kenangan patriotik



Apabila melihat sahaja jadual waktu kelas tambahan pasti mata pelajaran matematik akan menjadi perhatian. Siapakah guru yang akan mengajar? Persoalan yang bermain di minda setiap ahli kelas. Adakah cikgu Z?

Guru yang memiliki tubuh kecil molek dengan suara yang tegas. Telah sinonim dengan ketegasan dan garang. Apabila menghadiri kelas tambahan masa pengajaran lebih panjang bagi setiap mata pelajaran. Matematik adalah mata pelajaran paling mencabar.

Cabaran mungkin dari mata pelajaran tersebut atau cikgunya. Maklumlah pada waktu itu salah sebut sifir terus ada hukuman. Namun itu merupakan kenang buat masa sekarang. Kenangan yang akan disebut-sebut walaupun mungkin tidaklah semanis gula dicampur kicap sebagai pencicah mangga muda masam.
Setip kali sebelum memulakan kelas pasti akan menyanyi lagu "Wawasan 2020". Menyanyi dengan penuh semangat setiap baris dan rangkap. Hari pertama boleh lihat lirik hari kedua dan seterusnya perlu hafal. Bolehlah baca liriknya di bawah tu.

Wawasan 2020

Bendera berkibar di angkasa
Lambang negara jaya
Rakyat sepakat sehati sejiwa
Dengan berbakti dengan megah

Hadapi cabaran masa muka
Penuh tenaga murni
Bakti dicurah sehara-sehala
Dengan wawasan yang suci

Wawasan meningkat kemajuan
Tiada lagi kepincangan
Kemewahan rasa-dirasai
Bersama kita nikmati

Wawasan 2020
Satu pandangan jauh
Bukan impian malah kenyataan
Bersama kita jayakan

Satu lagi lagu yang perlu dinyanyikan ialah jalur gemilang, pada masa tu belum bendera belum ada nama jalur gemilang jadi hanya lagu bendera kita. Dah cari lirik lagu seperti kat bawah tu.

Lirik Lagu Jalur Gemilang
Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa merdeka
Semarak jaya kami warganya

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat

Jalur gemilang… di bawah naunganmu
Jalur gemilang… kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia
Jalur gemilang… megah kami terasa
Jalur gemilang… kibarkanlah wawasan
Merah putih biru kuning
Jalur semangat kami semua

Berkibarlah
Berkibarlah
Berkibarlah

Jalur gemilang

Walaupun belajar matematik perlu ada semangat cintakan negara. Bahagian ni best lah menyanyi. Selesai menyanyi baru lah mula matematiknya. Siapa yang tak siap latihan sedialah menerima hukuman.

Sentiasa dalam ingatan.

#ceritasyah

Friday, August 24, 2018

Orang hebat


Salam sejahtera,

Saya mendoakan anda mendapat kejayaan dan keberkatan dalam kehidupan pada hari ini. Amin. 

Syukur pada kali ini saya berkesempatan untuk mendapat sedikit ilmu yang dikongsi kan oleh Dr. Norhisham Mustaffa. Antara isi ceramah tersebut saya kongsi kan kepada anda semua. Sila baca dan yang baik dijadikan amalan. 

Apabila tahap pergantungan kepada Allah lemah kita akan mula sakit. Pusat graviti berkurang menyebabkan deria rasa menjadi tidak rasional.

Pergantungan wujud apabila hormon melatonin terhasil dengan baik. Hormon ini terhasil disebabkan hubungan di antara tulang pineal yang terletak di otak dan tulang sulbi di bawah pinggan. Oleh itu perlu ambil tindakan untuk membetulkannya dengan kaedah-kaedah berikut.

1) Orang hebat, niat betul
- Ini adalah langkah utama untuk meningkatkan tahap pergantungan kepada Allah.
- "Ya Allah aku lakukan hanya kerana Mu." ini merupakan salah satu affirmasi yang perlu menjadi sebutan supaya kita sentiasa ingat kepada Allah.
- Pergantungan adalah motivasi yang kuat. Ini menjadikan hormon melatonin bertambah dan deria semakin rasional.

2) Orang hebat, Akhlak dan budi pekerti kuat
- Akhlak adalah "respons" terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Akhlak terbina dengan melakukan solat.
- Sifat atau sikap yang berbeza mewakili organ di dalam tubuh. Terdapat 16 organ maka wujud 16 sikap dalam diri setiap orang.
- Sikap akan mencerminkan akhlak oleh yang demikian betulkan akhlak dengan membetulkan solat. Setiap kali perkaitan ayat solat akan diikuti dengan akhlak itu yang tertulis dalam Al Quran.
- Jagalah solat pasti akhlak akan terjaga.

3) Orang hebat, akal seimbang
- Akal seimbang akan menjadikan seseorang itu hebat. Bagi meningkatkan kehebatan akal perlu mempunyai ilmu. Dengan ilmu kita akan boleh berfikir dengan waras.
- Pastikan kita mendapatkan ilmu bukan hanya maklumat. Bagi mendapatkan ilmu perlu ada dua syarat iaitu perlu berguru dan mempunyai kitab atau rujukan.
- Akal juga dipengaruhi oleh bahan kimia yang memasuki tubuh. Cara yang biasa bahan kimia memasuki tubuh ialah melalui hidu, sapu dan makan. Pemakanan merupakan cara yang paling mudah bahan kimia memasuki tubuh. Oleh itu kita perlu menjaga jenis makan yang diambil sebolehnya kurangkan makanan proses.
- Pengambilan bahan kimia berlebihan akan mempengaruhi hormon tubuh. Hormon yang tidak stabil menyebabkan penyakit dan emosi terganggu.
- Kadar pengambilan makanan adalah mengikut peratus tahap ke boleh hadam makanan tersebut. Jika 60% makanan tersebut tidak hadam ia adalah haram untuk makan, makruh apabila tahap ke boleh hadam ialah 40-59% dan menjadi harus apabila tahap ke boleh hadam 31%.
- Akal dipengaruhi oleh makanan.

4) Orang hebat, ada disiplin
- Disiplin paling mudah ialah tidur awal dan bangun awal. Tidur akan mempengaruhi emosi apabila bangun. Tidak cukup tidur dan tidur berlebihan akan menyebabkan emosi tidak stabil.
- Tidur selepas pukul 12 tengah malam selama tiga hari berturut-turut akan menyebabkan 30% metabolisme badan berkurang. Bagi meningkatkan semula metabolisme ia memerlukan masa satu minggu.
- Tidur awal iaitu sebelum 12 tengah malam dan bangun sekitar jam tiga atau empat pagi untuk melakukan aktiviti menambah ilmu. Pada jam tiga hingga lima pagi adalah masa yang sesuai untuk belajar.

Setiap ilmu yang bermanfaat perlu diamalkan untuk memberi keberkatan dalam kehidupan.

#ceritasyah

Monday, August 20, 2018

KAKOM 2018


Salam sejahtera,

Secara rasminya pada hari ini (17/8/18) berlangsungnya Karnival Kokurikulum Matrikulasi (KAKOM) bagi tahun 2018. Kolej Matrikulasi Selangor (KMS) sekali lagi menjadi tuan rumah acara yang berprestij ini setelah berjaya menganjurkannya pada 2011 yang lepas.

Karnival ini melibatkan 17 buah kolej termasuk dua kolej Mara. Temasya selama dua hari ini melibatkan lapan acara permainan iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, tenis, badminton dan skuasy.

Semua acara berlangsung di gelanggang sekitar kolej kecuali bagi pusingan awal bola sepak melibatkan padang luar seperti padang ILP, padang Kg. Sawah dan padang Kg. Sg. Buaya. Semoga semua kontinjen dapat menjayakan karnival kali ini dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Menarik pada pagi ini ialah solat subuh berjemaah di surau As Sufi memenuhi sehingga tiga saf. Sungguh menakjubkan, tahniah kepada kontinjen yang berjaya mengimarahkan surau.

#ceritasyah

Friday, August 3, 2018

Akaun CDS


Salam sejahtera,

Saya mendoakan anda semua sentiasa sihat dan mendapat keberkatan dalam apa jua yang dilakukan pada hari ini.

Kali ini saya ingin menceritakan berkaitan dengan akaun CDS. Bagi remaja 18 tahun mereka sudah layak untuk membuka akaun CDS. Apakah akaun CDS? Mungkin ramai yang tertanya-tanya soalan ini.

Akaun CDS adalah singkatan daripada Central Depository System iaitu satu akaun yang membolehkan kita untuk berdagang. Akaun ini diurus dan dikawal selia oleh Malaysia Central Depository Sdn Bhd (MCD). Akaun ini boleh didaftarkan mengikut broker saham yang berdaftar.

Senarai broker telah disusun mengikut abjad A hingga Z.

Apakah perkara yang diperlukan untuk membuka akaun CDS? Setiap permohonan memerlukan satu salinan kad pengenalan, tiga salinan penyata akaun bank dan wang proses sebanyak RM 10. Siapa yang boleh buka akaun CDS? Warga Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas layak membuka akaun CDS.

Akaun CDS berfungsi sebagai akaun simpanan saham berdaftar untuk proses urus niaga di Bursa Malaysia. Akaun ini digunakan untuk semua urusan simpanan dan pengeluaran saham apabila urus niaga jual beli berlaku kelak. Proses dagangan boleh dilakukan apabila modal telah dimasukkan ke akaun tersebut.

Selamat membuka akaun CDS.

#ceritasyah

Monday, July 30, 2018

Saham


Salam sejahtera, 

Saya mendoakan anda semua mendapat keberkatan dan kemudahan dalam apa jua yang dilakukan pada hari ini. Amiin.

Peluang tiba apabila kita telah bersedia. Namun kepekaan terhadap peluang itu adalah penting supaya ia tidak berlalu tanpa di ambil. Setiap yang berlaku juga bukan kebetulan semuanya telah tertulis dan berlaku pada masa yang telah ditetapkan.

Kita mungkin telah mendapat tahu berkaitan dengan sesuatu cara atau ilmu namun belum timbul minat berkaitan perkara tersebut. Namun apabila telah tiba masanya perkara tersebut dapat digunakan untuk memudahkan sesuatu yang sedang dilakukan sekarang.

Kebanyakan orang akan menyatakan bahawa itu adalah kebetulan. Sebenarnya itu adalah masa perkara atau ilmu itu diperlukan dalam kehidupan kita.

Walaupun telah lama mendengar dan baca berkaitan dengan saham namun belum berpeluang untuk menghadiri kelas. Setelah mendapat peluang untuk menghadiri kelas saham maklumat berkaitan lebih mudah difahami.

Banyak perkara yang perlu di ketahui sebelum boleh berdagang saham. Paling utama ialah istilah yang digunakan selama ini istilah biasa ialah "main saham" istilah itu menyebabkan kita rasa saham itu adalah untuk main. Sedangkan pada hakikatnya saham adalah satu perdagangan dan merupakan perniagaan.

Dengan ilmu yang betul banyak perkara yang mustahil boleh berlaku dalam perdagangan saham. Keuntungan adalah paling utama, risiko rugi juga wujud semasa perdagangan saham. Ilmu yang betul membantu kita meningkatkan keuntungan dan mengurangkan risiko perdagangan saham.

Mengikut tuan haji Mohd Asri Ahmad iaitu pengasas Asri Ahmad Akademik, setiap pedagang memerlukan ilmu yang betul sebelum berdagang. Beliau telah menggunakan tujuh formula untuk memudahkan lagi para pedagang. Formula tersebut diberi nama 7-RM.

Dengan menggunakan formula tersebut para pedagang dapat menjadikan pelaburan lebih selamat dan rasional.

#ceritasyah

Thursday, July 19, 2018

Syarat menuntut ilmu

Salam sejahtera, 

Saya mendoakan anda mendapat keberkatan dalam apa jua yang dilakukan pada hari ini. Aminn.

Hidup merupakan satu proses yang akan dilalui oleh setiap orang. Bermula dari kelahiran sehingga tibanya saat kematian. Bagi orang yang tahu tujuan hidup maka mereka akan mencari arah dan cara untuk sampai kepada kehidupan yang dicari.

Cara yang paling mudah ialah dengan menuntut ilmu. Kaedah menuntut ilmu pada masa kini telah dipelbagaikan. Namun bagi memastikan kita mendapat ilmu maka dua perkara ini perlu dipertimbangkan. Bagi pencinta ilmu meraka perlu mencari guru untuk mendapatkan ilmu. Ilmu yang disampaikan juga perlu mempunyai kitab. Apabila lengkap syarat tersebut maka ilmu yang diperoleh.

Apabila kita merujuk kepada kitab, terdapat banyak maklumat yang akan diperoleh namun belum tentu kita akan mendapat ilmu. Oleh yang demikian adalah penting untuk kita mempunyai guru bagi menjelaskan isi kitab tersebut. 

Semoga kita akan lebih teruja untuk menambah ilmu dalam kehidupan.

#ceritasyah

Thursday, July 12, 2018

Buat duit online


Salam sejahtera,

Saya mendoakan anda sentiasa sihat dan diberkati dalam apa jua yang dilakukan pada hari ini.

Pada era teknologi dan internet ini banyak peluang untuk mendapatkan duit tanpa keluar dari rumah. Hanya menggunakan kemudahan teknologi, komputer dan sambungan internet kita sudah ada peluang untuk menjana duit dari rumah.

Antara perkara yang boleh dilakukan menggunakan komputer dan capaian internet bagi menghasilkan pendapatan adalah seperti berikut:

1. Perkhidmatan menyunting gambar.
2. Memulakan penulisan blog.
3. Menjual barang terpakai.
4. Menulis untuk orang lain (penulis upahan).
5. Menukar sampah/barang terbuang menjadi duit.
6. Membuka kedai jualan barangan import.
7. Memulakan perniagaan promosi.
8. Memberi khidmat alih bahasa.
9. Menguruskan email pelanggan.
10 Menyediakan perkhidmatan scrapbook online.
11. Menyediakan video korporat.
12. Menyediakan latihan dalam talian.

Banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk menjana pendapatan atas talian. Apabila kita mempunyai kemahiran itu boleh menjadi satu kelebihan. Sebagai contoh apabila kita memiliki kemahiran menyunting gambar. Kemahiran tersebut boleh ditawarkan untuk perkhidmatan menyunting gambar pelanggan. Selain itu kita juga boleh menawarkan perkhidmatan membuat logo atau banner.

Pastikan kita sentiasa meningkatkan kemahiran diri supaya lebih banyak peluang untuk menghasilkan pendapatan secara atas talian. Pastikan kita fokus dalam sesuatu bidang sebelum menambah bidang yang lain. Ini bagi menjenamakan perkhidmatan yang kita lakukan dan meningkatkan kredibiliti di mata pelanggan.

Semoga kita sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran diri.

#ceritasyah

Thursday, July 5, 2018

Blog


Salam sejahtera,

Saya mendoakan anda sentiasa sihat dan mendapat keberkatan dalam apa jua yang dilakukan pada hari ini. Aminn.

Syukur hari ini dapat berkongsi sedikit ilmu dengan seorang rakan berkaitan dengan blog. Dalam masa 20 minit rakan tersebut telah dapat membina satu blog yang ringkas serta mengetahui perkara asas berkaitan blog.

Apabila bercerita berkaitan dengan blog ramai yang akan berkata mereka tidak mempunyai masa. Tak sempat nak menulis dan macam-macam lagi perkara. Itu semua boleh diatasi apabila kita mempunyai tujuan jelas.

Setiap orang mempunyai pengalaman tersendiri, maka ia boleh dijadikan sebagai panduan kepada pembaca-pembaca lain. Selain menulis, kita juga boleh memuat naik video dan gambar sebagai isi blog.

Perkongsian maklumat yang berguna kepada pembaca akan menjadikan blog sering dikunjungi. Ini menjadikan ilmu yang bermanfaat bagi penulis. Seperti hadis yang sering kita dengar "Apabila meninggal anak Adam hanya tiga perkara yang membantu di alam kubur iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat serta sedekah jariah."

Melalui blog kita boleh memberikan ilmu yang bermanfaat serta sedekah jariah. Selagi ada yang menggunakan  ilmu yang kita sampaikan maka selama itu amal jariah akan dikira untuk kita.

Namun melalui blog juga boleh menjadi pintu kejahatan dan fitnah apabila kita menyampaikan ilmu yang salah. Pastikan maklumat yang ingin dikongsi kan adalah benar. Apabila melalui pengalaman sendiri pasti ia adalah benar.

Teruskan perkongsian ilmu supaya lebih ramai yang dapat dibantu.

#ceritasyah


Wednesday, June 20, 2018

Lapan jenis rezeki


 Salam sejahtera,

Saya mendoakan anda mendapat kejayaan dan keberkatan dalam kehidupan pada hari ini. Amin.
Syukur semasa membaca WhatsApp ada kawan yang berkongsi berkaitan dengan rezeki. Supaya kita semua mendapat manfaat saya kongsi kan ilmu tersebut.

8 JENIS "PUNCA" TERJADINYA REZEKI YANG TERMAKTUB DI DALAM AL-QURAN
1. Rezeki kerana ISTIGFAR (Nuh : 10-11)
2. Rezeki kerana BERSYUKUR (Ibrahim : 7)
3. Rezeki kerana SEDEKAH (Al-Baqarah : 245)
4. Rezeki kerana USAHA (Al-Najm : 39)
5. Rezeki kerana MENIKAH (An-Nur : 32)
6. Rezeki kerana ANAK (Al-Isra' : 31)
7. Rezeki TAK TERDUGA (At-Thalaq : 2)
8. Rezeki yang telah DIJAMIN (Hud : 6)

LAPAN JENIS REZEKI DARI ALLAH

1.Rezeki Yang Telah Dijamin.
"Tidak ada satu makhluk melata pun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin ALLAH rezekinya."
(Surah Hud : 6).

2. Rezeki Kerana Usaha.
"Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya."
(Surah An-Najm : 39).

3. Rezeki Kerana Bersyukur.
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada mu."
(Surah Ibrahim : 7).

4. Rezeki Tak Terduga.
"Barang siapa yang bertakwa kepada ALLAH nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya."
(Surah At-Thalaq : 2-3).

5. Rezeki Kerana Istighfar.
"Beristighfar lah kepada Tuhan mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepada mu dengan lebat, dan memperbanyak harta.”
(Surah Nuh : 10-11).

6. Rezeki Kerana Menikah.
"Dan nikahkan lah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak dari hamba sahaya mu baik laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, maka ALLAH akan memberikan kecukupan kepada mereka dengan kurnia-Nya."
(Surah An-Nur : 32).

7. Rezeki Kerana Anak.
"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak mu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagi mu.”
(Surah Al-Israa' : 31).

8. Rezeki Kerana Sedekah.
"Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada ALLAH, pinjaman yang baik (infak & sedekah), maka ALLAH akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak."
(Surah Al-Baqarah : 245).

Semoga Allah sentiasa limpahkan kita dengan rezeki zahir dan batin yang dapat membantu perjalanan kita menuju Allah. Amiin..

Ustaz Iqbal

Setiap ilmu yang bermanfaat perlu diamalkan untuk memberi keberkatan dalam kehidupan.
#ceritasyah

Friday, June 15, 2018

Kejayaan individu adalah berbeza.

Salam sejahtera,

Didoakan semua pembaca mendapat kerahmatan dan hidayah yang berterusan. Aminnn.

Sering kita dengan berkaitan dengan kejayaan. Semua orang hendak berjaya, namun difinasi kejayaan bagi setiap orang adalah berbeza.

Ada mengikut individu, ada mengikut kelompok dan ada yang mengikut bangsa. Setiap kejayaan akan memberikan makna bebeza kepada situiasi tersebut. Sebagai contoh seseorang pelajar dianggap mencapai kejayaan apabila mendapat bilangan A yang banyak dalam peperiksaan. Seorang guru dianggap telah mencapai kejayaan apabila semua pelajar lulus dengan cemerlang.

Manakala seseorang akan yang berada didalam masyarakat dianggap mencapai kejayaaan apabila berjaya memiliki kekayaan yang banyak dan menggunakan kenderaan yang hebat. Itu yang telah dibentuk dalam minda kita semua berkaitan dengan kejayaan. Namun semua itu adalah persepsi semata-mata. Kejayaan adalah berbeza untuk setiap individu, peningkatan gred daripada D kepada C adalah satu kejayaan kepada seorang pelajar. Namun masyarakat masih melabelkan pelajar tersebut gagal kerana belum mendapat A.

Mungkin dalam bidang yang lain pelajar terbabit mempunyai kemahiran yang lebih baik berbanding dengan rakan-rakan lain. Ada perkara yang tidak dapat dinilai melalui kaedah peperiksaan semata-mata. Sekarang terdapat berbagai-bagai cara penilian telah diwujudkan bagi mengimbangi situasi tersebut.

Setiap individu adalah berbeza maka kejayaan mereka juga berbeza walaupun dalam bidang yang sama. Itulah keunikan setiap individu yang diciptakan, mereka ada peranan masing-masing yang perlu dilakukan.

#ceritasyah

Thursday, May 24, 2018

Selipar wakaf



"Alamak selipar aku hilang lah!" jerit Kamal.

"Cuba cari dahulu mungkin salah letak." ujar Seman sambil melihat ke kiri dan kanan tangga masjid.

"Tak lah, aku ingat letak kat sini tadi. Kan kita masuk ikut pintu ini." balas Kamal.

Jarinya terus menuding ke tempat meletak kasut yang disediakan di tepi tangga masjid.

"Mungkin ada orang yang pinjam tu." Seman membalas untuk menyejukkan hati Kamal.

"Cuba kita lihat kat tangga sebelah sana." sambungnya lagi.

Setelah puas mencari seliparnya di sekeliling masjid Kamal pasrah. Dengan yakin di membuat keputusan bahawa selipar Sholl kesayangannya telah dikebas orang.

Terpaksalah dia menapak berkaki ayam untuk balik ke rumah. Belum sempat dia melangkah Seman menghulurkan sepasang selipar berwarna hijau. Menarik selipar tersebut pada talinya tertulis masjid dan surau.

Ini merupakan inovasi terkini untuk selipar wakaf untuk masjid dan surau. Terus dicetak perkataan masjid dan surau supaya tiada sesiapa yang mengambilnya tanpa izin.

Teringat pada masa dahulu sewaktu tinggal di asrama, tertukar selipar menjadi perkara biasa kerana rupa yang sama. Maka masing-masing akan membuat tanda pada selipar.

Ada yang menulis menggunakan pen, ada yang membuat ukiran dan macam-macam lagi supaya dapat mengenali selipar sendiri. Ini juga cara untuk mendapatkan semula apabila hilang.

Pada waktu itu selipar berjenama seperti Adidas, Umbro dan Diadora menjadi pilihan kerana pengaruh bola sepak. Pergaduhan boleh tercetus disebabkan sepasang selipar. Apabila difikirkan sekarang pasti terasa tidak berfaedah langsung perbuatan tersebut.

Namun apabila ia melibatkan emosi yang tidak terkawal segala kemungkinan akan berlaku. Itulah sebabnya Islam memberi panduan bagi menguruskan emosi marah.

Seseorang yang sedang marah perlulah duduk jika dia berada dalam posisi berdiri. Jika marahnya masih belum reda maka dia perlu berbaring. Namun jika masih tidak dapat mengawalnya maka dia perlu berwuduk. Air dapat memadamkan api maka wuduk akan dapat meredakan kemarahan.

Namun segalanya adalah bergantung kepada sikap individu yang terlibat. Maka latih lah hati untuk sentiasa bersyukur kerana ia akan menjadikan diri sentiasa tenang.

#ceritasyah

Thursday, May 17, 2018

Pesan HAMKA kepada Pendidik



Judul Buku: Pesan HAMKA kepada Pendidik
Pengarang: Muhammad Shah Ahmad Nor
Penerbit: Jejak Tarbiah Resources
Tahun Terbit: 2017
Tempat Terbit: Selangor
Pencetak: Firdaus Press Sdn. Bhd.
Halaman: 180 muka surat
Kategori: Motivasi

“Pesan HAMKA kepada Pendidik” telah ditulis oleh Muhammad Shah. Penulis merupakan seorang kakitangan swasta yang mula mengkaji berkaitan HAMKA semenjak 2015. Minat untuk menulis perkongsian berkaitan dengan HAMKA bermula setelah penulis menyertai trip Jejak HAMKA bersama-sama Komuniti Jejak Tarbiah. Kajian berkaitan pendidikan dan pendidik dilakukan setelah penulis menubuhkan sebuah tadika pada 2014. Bantuan isterinya yang merupakan guru awal kanak-kanak menjadi pendorong penulis menyediakan prasarana pendidikan awal. Di mana buku ini ditujukan kepada semua pendidik walaupun penerangannya banyak berkisar kepada pendidikan awal kanak-kanak. Selain itu ibu bapa juga menjadi sasaran secara tidak langsung penulis dalam buku ini. Cara penceritaan yang mudah dan ringkas menjadikan setiap bab dapat dibaca dan difahami dengan cepat.

Buku ini setebal 180 halaman dan mengandungi 42 bab, di mana bab pertama menjelaskan betapa pentingnya visi bagi seorang pendidik terhadap anak didiknya. Setiap bab dimulakan dengan satu penceritaan berkaitan dengan HAMKA atau peristiwa dalam sejarah Islam. Terdapat juga bab yang menyentuh isu-isu berkaitan dengan guru seperti tekanan semasa mengajar, kritikan dan cabaran guru. Semua isu yang diketengahkan diberi jalan keluar mengikut cara yang telah digunakan oleh HAMKA. Setiap kisah berkaitan HAMKA bermula dari kecil, remaja dan dewasa diceritakan dengan baik dalam setiap bab.

Namun begitu penceritaan in tidak mengikut kronologi iaitu dari kecil hingga dewasa tetapi mengikut isu yang diketengahkan dalam bab. Sebagai contoh bab “Setiap kesukaran akan hadir kemudahan” dan bab “Munajat seorang pendidik” menceritakan berkaitan HAMKA semasa mengalami zaman fitnah dan di penjara. Walaupun cerita yang digunakan sama namun isu yang dikupas adalah berlainan. Penulis dapat memberikan kupasan yang baik berkaitan isu setiap bab dengan menggunakan situasi yang sama.

Buku ini juga mengandungi gambar-gambar berkaitan HAMKA dan keluarga, penggunaan gambar berjaya memberikan lebih penjelasan kepada pembaca berkaitan dengan suasana di kampung halaman dan sekolah yang diasaskan oleh HAMKA. Lawatan penulis ke kampung halaman HAMKA menjadikan penceritaan lebih jelas dan gambar yang digunakan adalah terkini.

Sebagai seorang pendidik pasti akan tersentuh dengan penjelasan yang diberikan oleh penulis bagi setiap isu dan dikaitkan dengan situasi HAMKA. Apabila pendidik mengalami tekanan bab “Penawar kepada stres: Petunjuk Qurani buat pendidik” boleh dijadikan panduan. Penulis juga ada mengetengahkan peranan isteri HAMKA sebagai pasangan, sahabat dan pembantu yang sentiasa menjadi teman membuat keputusan penting dalam kehidupan mereka.

Kesimpulannya “Pesan HAMKA kepada Pendidik” sangat sesuai dijadikan bahan bacaan oleh para guru dan ibu bapa bagi menjadikan pendidikan lebih berkesan. Acuan yang dibangunkan oleh HAMKA berlandaskan Al-Quran dan Sunah dalam pendidikan menjadikan pendidik sebagai satu aset penting kepada generasi akan datang. Buku ini juga disediakan dengan rujukan ini memudahkan pembaca untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan kisah-kisah yang terdapat dalam bab-bab berkaitan.


#ceritasyah

Sunday, May 13, 2018

Perubahan.

Salam sejahtera,

Semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang yang maha Esa. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Itu adalah perkara yang sentiasa kita dengar apabila berlaku sesuatu samaada baik atau buruk. Namun kita sering melihat sisi yang negatif dahulu berbanding dengan sisi yang positif. 

Begitulah cara kita diajar berfikir sejak kecil, sentiasa melihat sisi yang negatif dahulu sebelum nampak yang positif. Sebaiknya kita fikir perkara yang positif dahulu sebelum negatif. Fikiran negatif ini terhasil apabila sesuatu perkara tidak menepati apa yang kita hendak. 

Perubahan perlu dilakukan bagi mencapai kejayaan. Seperti kisah penghijraahan maka untuk mendapat sesuatu yang lebih baik kadang kala kita perlu berhijrah. Ia sama juga dengan berubah dari keadaan biasa-biasa kepada keadaan yang luarbiasa. 

Setiap perubahan yang dilakuakan pasti ada resiko, oleh itu persediaan adalah perlu dalam menghadapi perubahan. Perlu ada minda yang tenang dan panduan yang jelas sebelum melakukan perubahan. 

Berubahlah ke arah yang lebih baik supaya kita sentiasa mendapat kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan.  

#ceritasyaha

Thursday, May 3, 2018

Cuti

Salam sejahtera,

Semoga kita sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan dari Yang Maha Esa.

Bagi pelajar yang mengikuti pengajian di semua peringkat pasti perkataan CUTI menjadi sesuatu yang amat bermakna. Bagi yang tinggal di asrama semasa cuti ini lah masa yang sesuai untuk menggantikan tidur yang amat terhad. 

Semasa cuti lah masa untuk menonton tv, melakukan aktiviti yang tidak melibatkan akademik dan melancong bersama keluarga. Walau apa pun aktiviti yang dilakukan pastikan ia memberi ilmu yang bermanafaat kepada anda semua. Sedikit kemahiran yang anda tahu akan membantu pada kemudian hari. Sentiasalah berusaha untuk mendapatkan sesuatu kemahiran, yang boleh membantu diri untuk membantu orang lain.

Dengan kemahiran yang anda ada ia juga dapat membantu menambah pendapatan dan ilmu kepada individu lain. Jadikan cuti sebagai peluang untuk menambah ilmu terutamanya berkaitan dengan pengurusan kewangan dan pengurusan masa.

Seringkali kita dengar berkaitan masalah kewangan dan masa yang tidak cukup. Ini semua berlaku disebabkan kita tidak dapat mengurus masa dan kewangandengan baik. Apabila kita dapat menguruskan masa dan kewangan dengan baik pasti kita akan merasakan ia sentiasa mencukupi untuk semua aktiviti. 

Sentiasalah berusaha untu tambah ilmu dan kemahiran.

#certiasyaha

Thursday, April 26, 2018

Berkongsi

Salam sejahtera,

Didoakan kita semua sentiasa sihat dan berjaya. 

Semasa saya belajar dahulu sempat juga berjalan-jalan ke rumah kawan di Muar. Itu merupakan kali pertama saya sampai ke Johor dan  bersendirian (bukan dengan keluarga). Kami mula bergerak dari Kuala Pilah pada waktu pagi menaiki bas dan sampai di Muar menjelang tengah hari. Walaupun perjalanan agak jauh namun ia tidak terasa kerana kami berlima banyak perkara yang dibualkan.

Setelah sampai di rumah kawanku Nizam, kami telah dihidangkan makan tengah hari. Tujuan kami ke kampung Nizam ialah untuk meraikan perkahwinan abangnya. Sempat lah kami melihat persiapan sebelum perkahwinan. 

Apa yang menarik ialah "nasi ambang", pertama kali aku mendengar dan merasanya. Pada malam sebelum majlis pernikahan diadakan doa selamat di rumah pengantin lelaki. Selesai majlis doa selamat kami dhidangkan dengan setalam nasi yang dikongsi empat orang. Makan dimenggunakan talam sudah biasa bagi aku cuma kali ini agak berlainan. 

Satu talam diisi penuh dengan nasi, seekor ayam, serunding, mee goreng dan ikan kering. Wah bagaimana nak habiskan ni bisik aku didalam hati, kami hanya berempat. Setelah doa makan dibaca kami mula menjamah nasi tersebut. tak sampai beberapa suap tiga orang yang aku panggil pakcik berhenti makan. 

Kenapa ni? Mereka sudah kenyang? Hanya beberapa suap sudah kenyang memang hebat. Bisik hatiku. Kemudian salah seorang dari mereka berkat kepada ku, belah lah nasi tu. Belah nasi? Lagi membuat kan aku terpinga-pinga. Nak belah bagaimana? 

Setelah melihat aku masih lagi kaku. Lalu salah seorang daripada mereka mengajar aku cara membelah nasi. Rupanya meraka hanya makan sedikit dan bakinya dibahagikan kepada empat untuk dibawa pulang oleh setiap orang. Semua lauk pun dibahagikan kepada empat bahagian sebelum dimasukkan kedalam bekas yang disediakan. Patutlah ada bekas disediakan bersama setiap talam yang dihidangkan.

Kawan aku memberitahu bahawa itu adalah adat bagi orang jawa. Mereka biasanya akan membawa balik makanan dari rumah kenduri untuk dikongsi bersama dengan keluarga. Patutlah nasi yang dihidangkan sangat banyak. Itu mereka bankil "berakat". Pada waktu dahulu setiap "berakat" yang dibawa pulang dibungkus menggunakan daun pisang. 

Memang menarik pengalam tersebut.

#ceritasyaha

Monday, April 9, 2018

Kemahiran individu.

Salam sejahtera, 

Setiap insan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Namun ramai yang fokus kepada kekurangan atau kelemahan. Ini menyebabkan mereka sukar untuk bangkit dalam setiap perkara. Apabila kita fokus kepada kelebihan diri maka kita akan  mudah untuk maju. Kerana itu adalah apa yang kita mahu. 

Hari ini sempat berbual-bual dengan beberapa orang pelajar yang pada luarannya hanya biasa-biasa sahaja. Namun dalam diri mereka terdapat sesuatu yang luar biasa. Bukan hanya fokus dalam bidang akademik namun dalam bidang kemandirian juga. 

Ada yang telah berjaya menjana RM 2K secara tetap. Hampir menyamai gaji permulaan pekerja yang memiliki ijazah. Apabila kena cara dan ilmu maka ia akan berlaku. Hanya memerlukan keupayaan untuk bertindak. 

Ada pelajar yang mempunyai kemahiran namun disebabkan belum bertindak maka hasilnya masih didalam kepala. Itulah penting untuk menulis apa yang kita mahu supaya ia bukan menjadi angan-angan namun telah bertukar kepada perancangan secara nyata. Ini permulaan kepada kejayaan bagi setiap insan yang telah berjaya. 

Walaupun pada mulanya ia kelihatan hanya sekadar hobi, jadikan satu cara untuk memberi keuntungan kepada diri sendiri serta masyarakat. Perlu ada sudut pandangan yang lain dari mata yang lain. Cuma perlu pastikan mata itu adalah yang positif. Apabila mendapat pandangan yang negatif maka hasil pun akan negatif. 

Mulakan dengan kemahiran dalam diri agar kita tahu apa yang kita dapat sumbangkan kepada masyarakat. Disamping dapat meningkatkan kemajuan diri. 

#ceritasyah

Saturday, February 24, 2018

Pilihan kita

Salam sejahtera,

Semoga kita sentiasa mendapat rahamt dan perlindungan dari yang maha kuasa.

Dalam kehidupan seharian pilihan adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Setiap pilihan yang diambil pasti akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Adakah pilihan yang dilakukan memberi lebih banyak manafaat atau mudarat. Itu sahaja yang perlu dipertimbangkan.

Kita melakukan pilihan yang dirasakan terbaik, namun apabila keputusan yang diperoleh tidak seperti kehendak maka akan timbuk kekesalan. Sebagai seorang yang percaya kepada Allah maka setiap perkara yang diperoleh adalah baik. Ini lah yang dilakukan oleh orang-orang beriman.

Pasti akan berkata sukar untuk sampai ketahap tersebut. Semamangnya betul namun kita lupa untuk memohon kepada Yang Maha Esa untuk melakukan pilihan terbaik. Mengikut seorang guru saya setiap pagi setelah bangun dari tidur pastikan kita berada dalam suasana yang tenang dan harmoni.

Supaya pada hari tersebut akan menjadi satu hari yang berkah dan mudah untuk dilalui. Pada masa yang sama mohon lah untuk melakukan pilihan  terbaik supaya mendapat keredaanNya. Itulah indahnya kehidupan seorang muslim, sepanjang kehidupannya adalah ibadah selagi ia ingat kepada tuhannya.

Apabila berlaku situasi begitu maka setiap keputusan atau pilihan yang dilakukan adalah dengan bantuan dari Allah.

Wednesday, February 14, 2018

Banyak kerja



Hari ini pelajar kelas mengeluh kerana terlalu banyak latihan yang diberikan. Mereka nampak tidak bersemangat disebabkan tidur lewat.

Beban tugasan yang banyak telah menyebabkan proses pembelajaran yang tidak seronok. Sepatutnya proses pembelajaran berlaku dalam suasana yang seronok agar minda mudah untuk menerima ilmu.

Kebelakangan ini proses pembelajaran telah menjadi proses untuk mendapatkan berapa banyak A. Jika seseorang pelajar tidak mempunyai A maka mereka tidak pandai. Ini merupakan keputusan yang tidak tepat kerana setiap pelajar mempunyai kemahiran dan tahap pemikiran yang berbeza.

Perkara ini telah dibincangkan dalam banyak artikel dan kajian namun pada hakikatnya ia hanya menjadi satu ilmu di dalam buku. Apabila sampai peringkat pelaksanaan persoalan berapa bilangan A yang akan disebut.

Proses kefahaman pelajar mengikut tahap pemikiran masing-masing ini menjadikan proses pembelajaran untuk setiap pelajar adalah berbeza. Sebagai contoh apabila belajar proses penambahan ada pelajar boleh terus faham apabila diceritakan proses penambahan, ada pelajar perlu nampak proses tersebut dan ada pelajar perlu melakukan proses penambahan supaya mereka faham.

Ini merupakan tiga kaedah pelajar menerima ilmu iaitu secara auditori (pendengaran), visual (penglihatan) dan kanestatik (perbuatan). Ada juga pelajar yang mempunyai tahap kefahaman yang tinggi, sederhanga dan rendah. Perbezaan tahap kefahaman ini akan menyebabkan masa untuk memahami sesuatu akan berbeza bagi setiap pelajar.

Masa yang lebih lama diperlukan oleh pelajar yang berada pada tahap kefahaman rendah. Walaupun belajar perkara yang sama di dalam kelas pelajar tersebut memerlukan masa yang lama untuk menyusun maklumat dan seterusnya memahami proses tersebut.

Bagi pelajar mereka seharusnya mengetahui teknik belajar yang berkesan bagi diri masing-masing supaya proses pembelajaran dapat dilakukan dengan lebih cepat. Peralihan ilmu akan berlaku walaupun mengambil masa yang lama. Namun jika pelajar mengetahui kekuatan diri masing-masing maka proses pembelajaran boleh berlaku dengan lebih cepat.

Kenali diri agar tidak terbeban semasa proses pembelajaran.

#ceritasyah

Saturday, February 10, 2018

Kenangan 1

"Min boleh tolong beli keropok dan 2 bungkus mee goreng?" tanya aku kepada Amin yang baru siap mentelaah.

Aktiviti yang dilalui saban malam selepas "prep".  Walaupun ada minum malam disediakan di dewan makan. Biasanya air teh o dengan biskut kering tiga keping seorang. Ia mengikut menu yang telah disediakan.

Apabila menu biskut kering atau biskut nyor kehadiran minum malam akan kurang, ini memberi peluang untuk mendapat lebih. Malam "burger bodo" hanya ada daging dan sos dihimit roti hampir semua pelajar akan turun minum.

Apapun rumah warden tetap menjadi tumpuan kerana ada menyediakan jualan makanan seperti mee goreng, keropok, pisang goreng, nasi lemak dan bihun goreng.

Berada di aspura pada tahun 1991 dan 1992 adalah pertama kali berjauhan dari keluarga. Asrama harian tersebut merupakan penginapan yang disediakan oleh seolah kepada pelajar yang tinggal jauh dari sekolah. Kemudahan dengan dua blok kediaman serta satu dewan makan menjadi pelengkap kepada asrama tersebut.

Satu blok untuk pelajar lelaki yang diberi nama Aspura dan satu blok untuk pelajar perempuan bernama Aspuri. Bilangan pelajar lebih kurang 100 hingga 130 orang terdiri dari semua aliran pengajian dan tingkatan.

Muhaimin merupakan salah seorang kawan yang menginap bersama dalam satu dorm. Pada waktu itu penghuni setiap dorm terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dan 4. Ketua asrama pada masa itu ialah dari pelajar tingkatan 6 atas iaitu pelajar pra U. Terdapat 4 dorm yang menempatkan 20 orang pelajar.

Tuesday, January 30, 2018

Penyapu lidi




"Pergi ambil dua pelepah kelapa kat belakang rumah" arah chek.

"Pasti nak buat penyapu ni" getus hati ku. Maklumlah penyapu kat tepi tangga tu dah semakin kecil.

Di kampung semua barang mudah untuk di peroleh nak buat penyapu lidi ambil je pelepah kelapa yang ada di sekitar rumah. Jika pokok kelapa tinggi tunggu pelepah kering jatuh.

Dapatlah seikat dua penyapu dalam sejam meraut beramai-ramai. Biasanya aktiviti meraut lidi akan dilakukan di hadapan rumah atau di atas gere di bawah pokok rambutan.

Sambil makan pisang goreng atau colek buah jambu atau pauh muda. Memang satu aktiviti yang mengeratkan silaturahim antara keluarga dan jiran tetangga.

Itulah aktiviti petang yang dilakukan untuk mengisi masa lapang. Yelah jika ada lebihan boleh dijual di pasar Jelawat. Seikat lidi yang dijual biasanya seringgit hingga seringgit lima puluh sen. Bergantung kepada saiz seikat.

Sambil melakukan aktiviti petang boleh menjadi sumber rezeki kepada penduduk kampung. Berbekalkan sumber semulajadi di sekitar rumah serta sedikit usaha maka adalah rezeki.

Selain daripada lidi, daun yang lebih boleh dijadikan alat mainan seperti serunai, hiasan bunga dan bola. Hanya perlu kreatif untuk melipat dan menggulung daun kelapa.

Itulah sumber permainan yang terhasil dan digunakan pada masa tersebut. 

#ceritasyah


Friday, January 19, 2018

Troli



Hari yang cerah dan tenang ini memang sesuai untuk pergi membeli belah. Barangan keperluan pun dah semakin kurang. Selesai solat zohor terus ke sebuah pasar raya berhampiran rumah.

Banyak yang terasa nak beli, namun bajet hari ini hanyalah RM50. Perlu ambil yang paling perlu sahaja. Dengan senarai perbelanjaan di tangan terus ke rak barangan tersebut. Satu persatu barangan dibelek dan diteliti. Mengikut keperluan dan ada dalam senarai yang dirancang.

Setiap kali pergi membeli belah sediakan senarai yang hendak dibeli supaya tidak terlebih bajet. Kenal pasti keperluan atau kehendak serta keutamaan produk yang hendak dibeli.

Setelah selesai mendapatkan apa yang tersenarai, terus tinjau jika ada produk murah. Kebiasaannya akan ada produk yang diturunkan harga terutamanya melibatkan sayur dan buah-buahan.

Apabila ada produk yang diturunkan harga maka sangat-sangat menjimatkan. Ini merupakan salah satu cara untuk berjimat pada masa kegawatan ekonomi.

Semasa beratur di kaunter sempat melihat kepada pelanggan di hadapan dengan troli yang penuh barang keperluan dapur. Selesai sahaja mengira semua produk yang dibeli jurujual menyatakan harga. Sungguh menguja kan dengan troli yang penuh memerlukan RM527 untuk sekali berbelanja.

Itulah persiapan yang perlu apabila ingin keluar membeli belah. Semua orang perlu bijak melakukan pilihan. Selain daripada senarai membeli-belah bajet juga perlu dilakukan supaya tidak berlaku kekurangan wang semasa berbelanja.

Jadilah pengguna yang bijak.

#ceritasyah

Wednesday, January 10, 2018

Walkman



Pertengahan 90an walkman merupakan kegilaan bagi setiap remaja. Hampir semua orang mempunyai walkman. Pada waktu tersebut walkman digunakan untuk mendengar kaset dan radio semasa belajar.

Bagi mendapatkan walkman berbagai-bagai cara dilakukan antaranya ialah mencari kerja sambilan, menabung dan menjual botol atau tin kosong. Kepuasan akan tergambar di wajah apabila berjaya mendapatkan walkman dan di tayangkan kepada kawan-kawan.

Paling utama dalam kehidupan ini apabila berkehendakkan sesuatu segala perkara sanggup dilakukan. Itulah pentingnya perlu ada matlamat dalam kehidupan.

Walkman itu hanyalah sebagai contoh satu matlamat jangka pendek. Apabila berjaya mendapatkannya maka hati berasa sangat puas tambahan lagi dari hasil usaha sendiri.

Namun selepas beberapa bulan maka akan ada matlamat baru yang hendak dicapai. Sediakan matlamat dalam kehidupan ini agar setiap perkara yang dilakukan memberi makna untuk kejayaan.

Matlamat perlu besar namun kaedah untuk mencapainya boleh di pecahkan mengikut kesesuaian. Sebagai contoh untuk menghasilkan sebuah buku dalam tempoh setahun. Maka beberapa pencapaian kecil boleh dijadikan sebagai penanda kejayaan buku tersebut.

Dalam tempoh dua bulan perlu melakukan kajian bahan untuk penulisan. Proses penulisan dilakukan dalam tempoh empat bulan, manakala penyuntingan dalam tempoh dua bulan. Manakala proses percetakan dalam tempoh dua atau tiga bulan. Maka sebuah buku telah berjaya di hasilkan. Tahniah.

Itulah contoh perancangan yang dilakukan bagi mencapai sesuatu matlamat. Lakukan perancangan sekarang supaya jalan lebih jelas dan terang.

#ceritasyah


Thursday, January 4, 2018

Doa Malaikat

Salam sejahtera,

Semua pembaca sekalian akan sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan dari Yang Maha Esa, aminn….

Baru-baru ini ada mendengar ceramah dari seorang ustaz di YouTube. Ia berkaitan dengan doa yang dimakbulkan. Biasanya doa yang makbul adalah dari insan yang dekat dengan Pencipta dan di senangi oleh Pencipta.

Bagi masyarakat kita orang alim merupakan pilihan untuk memohon doa apabila ingin menghadapi sesuatu. Seperti ingin memohon pekerjaan, anak ingin menduduki peperiksaan dan bermacam-macam-macam perkara lagi.

Selain dari orang alim kita juga boleh mendapat doa dari para malaikat. Malaikat merupakan makhluk yang paling taat dan patuh pada setiap arahan Yang Maha Esa. Sangat beruntung apabila malaikat dapat mendoakan kita. Pasti makbulkan.

Kita boleh mendapatkan doa malaikat apabila mendoakan saudara secara diam-diam tanpa diketahui saudara tersebut. Maka malaikat akan menyatakan memohon kepada Allah perkara yang di mohon kepada saudara tersebut kembali kepada yang mendoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata ‘aamiiin’ dan engkau pun mendapatkan apa yang dia dapatkan.” (Hadis Riwayat Muslim dari Ummud Darda’ r.a., Sahih Muslim no. 2733)

Perbanyakan doa kebaikan kepada saudara terutamanya kerabat agar kita pun mendapat apa yang didoakan tersebut. Selain daripada itu malaikat juga berdoa kepada sesiapa yang mengeluarkan  sedekah pada waktu subuh.

Malaikat akan mendoakan agar rezeki bagi yang mengeluarkan sedekah pada waktu subuh sentiasa melimpah dan mudah, manakala bagi yang bakhil maka didoakan agar rezeki mereka ditahan pada hari tersebut.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :

“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq’. Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang kedekut’ “(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a., Sahih Bukhari no. 1442 dan Sahih Muslim no. 1010)


Berdoa dan sedekah adalah dua perkara yang mudah untuk dilakukan setiap hari. Jadikan sebagai amalan yang berterusan supaya ia menjadi tabiat hidup. 

#ceritasyah