Pages

Thursday, May 24, 2018

Selipar wakaf



"Alamak selipar aku hilang lah!" jerit Kamal.

"Cuba cari dahulu mungkin salah letak." ujar Seman sambil melihat ke kiri dan kanan tangga masjid.

"Tak lah, aku ingat letak kat sini tadi. Kan kita masuk ikut pintu ini." balas Kamal.

Jarinya terus menuding ke tempat meletak kasut yang disediakan di tepi tangga masjid.

"Mungkin ada orang yang pinjam tu." Seman membalas untuk menyejukkan hati Kamal.

"Cuba kita lihat kat tangga sebelah sana." sambungnya lagi.

Setelah puas mencari seliparnya di sekeliling masjid Kamal pasrah. Dengan yakin di membuat keputusan bahawa selipar Sholl kesayangannya telah dikebas orang.

Terpaksalah dia menapak berkaki ayam untuk balik ke rumah. Belum sempat dia melangkah Seman menghulurkan sepasang selipar berwarna hijau. Menarik selipar tersebut pada talinya tertulis masjid dan surau.

Ini merupakan inovasi terkini untuk selipar wakaf untuk masjid dan surau. Terus dicetak perkataan masjid dan surau supaya tiada sesiapa yang mengambilnya tanpa izin.

Teringat pada masa dahulu sewaktu tinggal di asrama, tertukar selipar menjadi perkara biasa kerana rupa yang sama. Maka masing-masing akan membuat tanda pada selipar.

Ada yang menulis menggunakan pen, ada yang membuat ukiran dan macam-macam lagi supaya dapat mengenali selipar sendiri. Ini juga cara untuk mendapatkan semula apabila hilang.

Pada waktu itu selipar berjenama seperti Adidas, Umbro dan Diadora menjadi pilihan kerana pengaruh bola sepak. Pergaduhan boleh tercetus disebabkan sepasang selipar. Apabila difikirkan sekarang pasti terasa tidak berfaedah langsung perbuatan tersebut.

Namun apabila ia melibatkan emosi yang tidak terkawal segala kemungkinan akan berlaku. Itulah sebabnya Islam memberi panduan bagi menguruskan emosi marah.

Seseorang yang sedang marah perlulah duduk jika dia berada dalam posisi berdiri. Jika marahnya masih belum reda maka dia perlu berbaring. Namun jika masih tidak dapat mengawalnya maka dia perlu berwuduk. Air dapat memadamkan api maka wuduk akan dapat meredakan kemarahan.

Namun segalanya adalah bergantung kepada sikap individu yang terlibat. Maka latih lah hati untuk sentiasa bersyukur kerana ia akan menjadikan diri sentiasa tenang.

#ceritasyah