Pages

Thursday, May 17, 2018

Pesan HAMKA kepada Pendidik



Judul Buku: Pesan HAMKA kepada Pendidik
Pengarang: Muhammad Shah Ahmad Nor
Penerbit: Jejak Tarbiah Resources
Tahun Terbit: 2017
Tempat Terbit: Selangor
Pencetak: Firdaus Press Sdn. Bhd.
Halaman: 180 muka surat
Kategori: Motivasi

“Pesan HAMKA kepada Pendidik” telah ditulis oleh Muhammad Shah. Penulis merupakan seorang kakitangan swasta yang mula mengkaji berkaitan HAMKA semenjak 2015. Minat untuk menulis perkongsian berkaitan dengan HAMKA bermula setelah penulis menyertai trip Jejak HAMKA bersama-sama Komuniti Jejak Tarbiah. Kajian berkaitan pendidikan dan pendidik dilakukan setelah penulis menubuhkan sebuah tadika pada 2014. Bantuan isterinya yang merupakan guru awal kanak-kanak menjadi pendorong penulis menyediakan prasarana pendidikan awal. Di mana buku ini ditujukan kepada semua pendidik walaupun penerangannya banyak berkisar kepada pendidikan awal kanak-kanak. Selain itu ibu bapa juga menjadi sasaran secara tidak langsung penulis dalam buku ini. Cara penceritaan yang mudah dan ringkas menjadikan setiap bab dapat dibaca dan difahami dengan cepat.

Buku ini setebal 180 halaman dan mengandungi 42 bab, di mana bab pertama menjelaskan betapa pentingnya visi bagi seorang pendidik terhadap anak didiknya. Setiap bab dimulakan dengan satu penceritaan berkaitan dengan HAMKA atau peristiwa dalam sejarah Islam. Terdapat juga bab yang menyentuh isu-isu berkaitan dengan guru seperti tekanan semasa mengajar, kritikan dan cabaran guru. Semua isu yang diketengahkan diberi jalan keluar mengikut cara yang telah digunakan oleh HAMKA. Setiap kisah berkaitan HAMKA bermula dari kecil, remaja dan dewasa diceritakan dengan baik dalam setiap bab.

Namun begitu penceritaan in tidak mengikut kronologi iaitu dari kecil hingga dewasa tetapi mengikut isu yang diketengahkan dalam bab. Sebagai contoh bab “Setiap kesukaran akan hadir kemudahan” dan bab “Munajat seorang pendidik” menceritakan berkaitan HAMKA semasa mengalami zaman fitnah dan di penjara. Walaupun cerita yang digunakan sama namun isu yang dikupas adalah berlainan. Penulis dapat memberikan kupasan yang baik berkaitan isu setiap bab dengan menggunakan situasi yang sama.

Buku ini juga mengandungi gambar-gambar berkaitan HAMKA dan keluarga, penggunaan gambar berjaya memberikan lebih penjelasan kepada pembaca berkaitan dengan suasana di kampung halaman dan sekolah yang diasaskan oleh HAMKA. Lawatan penulis ke kampung halaman HAMKA menjadikan penceritaan lebih jelas dan gambar yang digunakan adalah terkini.

Sebagai seorang pendidik pasti akan tersentuh dengan penjelasan yang diberikan oleh penulis bagi setiap isu dan dikaitkan dengan situasi HAMKA. Apabila pendidik mengalami tekanan bab “Penawar kepada stres: Petunjuk Qurani buat pendidik” boleh dijadikan panduan. Penulis juga ada mengetengahkan peranan isteri HAMKA sebagai pasangan, sahabat dan pembantu yang sentiasa menjadi teman membuat keputusan penting dalam kehidupan mereka.

Kesimpulannya “Pesan HAMKA kepada Pendidik” sangat sesuai dijadikan bahan bacaan oleh para guru dan ibu bapa bagi menjadikan pendidikan lebih berkesan. Acuan yang dibangunkan oleh HAMKA berlandaskan Al-Quran dan Sunah dalam pendidikan menjadikan pendidik sebagai satu aset penting kepada generasi akan datang. Buku ini juga disediakan dengan rujukan ini memudahkan pembaca untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan kisah-kisah yang terdapat dalam bab-bab berkaitan.


#ceritasyah