Pages

Wednesday, February 14, 2018

Banyak kerja



Hari ini pelajar kelas mengeluh kerana terlalu banyak latihan yang diberikan. Mereka nampak tidak bersemangat disebabkan tidur lewat.

Beban tugasan yang banyak telah menyebabkan proses pembelajaran yang tidak seronok. Sepatutnya proses pembelajaran berlaku dalam suasana yang seronok agar minda mudah untuk menerima ilmu.

Kebelakangan ini proses pembelajaran telah menjadi proses untuk mendapatkan berapa banyak A. Jika seseorang pelajar tidak mempunyai A maka mereka tidak pandai. Ini merupakan keputusan yang tidak tepat kerana setiap pelajar mempunyai kemahiran dan tahap pemikiran yang berbeza.

Perkara ini telah dibincangkan dalam banyak artikel dan kajian namun pada hakikatnya ia hanya menjadi satu ilmu di dalam buku. Apabila sampai peringkat pelaksanaan persoalan berapa bilangan A yang akan disebut.

Proses kefahaman pelajar mengikut tahap pemikiran masing-masing ini menjadikan proses pembelajaran untuk setiap pelajar adalah berbeza. Sebagai contoh apabila belajar proses penambahan ada pelajar boleh terus faham apabila diceritakan proses penambahan, ada pelajar perlu nampak proses tersebut dan ada pelajar perlu melakukan proses penambahan supaya mereka faham.

Ini merupakan tiga kaedah pelajar menerima ilmu iaitu secara auditori (pendengaran), visual (penglihatan) dan kanestatik (perbuatan). Ada juga pelajar yang mempunyai tahap kefahaman yang tinggi, sederhanga dan rendah. Perbezaan tahap kefahaman ini akan menyebabkan masa untuk memahami sesuatu akan berbeza bagi setiap pelajar.

Masa yang lebih lama diperlukan oleh pelajar yang berada pada tahap kefahaman rendah. Walaupun belajar perkara yang sama di dalam kelas pelajar tersebut memerlukan masa yang lama untuk menyusun maklumat dan seterusnya memahami proses tersebut.

Bagi pelajar mereka seharusnya mengetahui teknik belajar yang berkesan bagi diri masing-masing supaya proses pembelajaran dapat dilakukan dengan lebih cepat. Peralihan ilmu akan berlaku walaupun mengambil masa yang lama. Namun jika pelajar mengetahui kekuatan diri masing-masing maka proses pembelajaran boleh berlaku dengan lebih cepat.

Kenali diri agar tidak terbeban semasa proses pembelajaran.

#ceritasyah