Pages

Thursday, December 22, 2016

Punch card - Pengetip waktu


Punch card - Pengetip waktu

Sudah agak lama tidak menggunakan pengetip waktu semasa masuk kerja. Sebelum ini menggunakan sentuhan jari dan kad. Selama menggunakan pengetip waktu ini ada satu masalah dihadapi.

Semasa hendak memasukkan kad pada slot pengetip waktu kad tidak ditarik. Maka ia menimbulkan tanda tanya kepada diri ini. Apabila diberi laluan kepada rakan sekerja lain terus dapat di cetak waktunya.

Pada suatu pagi semasa melakukan aktiviti tersebut perkara itu berlaku lagi. Kebetulan ada seorang staff yang memberikan saranan agar rapatkan kad pada bahagian belakang.

Rupa-rupanya kad perlu menyentuh pada bahagian belakang di dalam slot kad. Apabila dilakukan demikian maka pengesan akan berfungsi untuk menarik kad.

Semua alat yang beroperasi mempunyai aturan agar dapat berfungsi dengan baik. Kita pun perlukan aturan yang fitrah agar sentiasa sihat dan ceria.

#ceritasyah

Tuesday, December 20, 2016

Komputer atau motosikal?



"Syukur dapat juga kita sambung di UKM ni." kata Malek semasa minum di cafe Ungku Omar.

Memang menjadi kebiasaan kamai singgah di cafe ini untuk makan tengah hari atau minum petang selepas tamat kelas di fakulti. Pilihan makanan dan lauk yang beraneka pilihan menjadikan cafe ini pusat sehenti kepada pelajar dari kolej kediaman berhampiran.

"Yelah dapat fakulti yang sama, kursus pun sama." balas aku sambil menjamah cekodok pisang.

Malek dan aku merupakan rakan sekolah dari darjah 3 hingga tingkatan tiga. Selepas tamat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kami terpisah kerana menyambung penganjian di sekolah yang berbeza.

"Biasiswa dah nak masuk ni, nak beli apa?" tiba-tiba Rosman mencelah.

Yelah bisiswa dah nak masuk apa yang nak beli? Itulah persoalan besar bagi kami pelajar semester satu yang mendapat tajaan. Syukur kami pada waktu itu mendapat tajaan dari Majlis Amanah Rakyat (MARA). Walaupun tidak sebanyak sekarang, namun dapat menampung kehidupan untuk satu semester.

Pada masa itu hanya ada dua perkara menjadi sebutan iaitu komputer atau motosikal. Telefon bimbit masih menjadi barangan yang asing kerana belum menjadi "trend" jika ada pun harga sangat mahal. Bagi rakan-rakan yang tinggal jauh dari universiti pasti motosikal menjadi pilihan.

Komputer masih kurang penggunaannya bagi kami pada semester satu, jika perlu pun hanya satu atau dua tugasan berkumpulan. Bagi tugasan sebegitu siapa yang memiliki komputer akan menjadi tumpuan. Pilihan lain ialah menggunakan perkhidmatan Cyber cafe (cc) dengan sedikit bayaran sudah memadai untuk menyiapkan tugasan.

Sebaik sahaja berita biasiswa sudah dapat beberapa orang rakan telah menggunakan duit tersebut sebagai bayaran muka untuk motosikal. Bermacam-macam jenis yang ada paling biasa ialah Honda 90. Pada waktu itu motosikal Suzuki RXZ menjadi pilihan ramai. Mudah nak konvoi untuk balik kampung bila cuti semester.

Aku bersyukur kerana tidak perlu membeli kedua-duanya. Bapa saudara yang telah tamat belajar memberikan komputer dan motosikal yang digunakannya semasa belajar dahulu. Walaupun agak lama namun masih berfungsi dengan baik.

Pada masa sekarang terlalu banyak yang ingin di beli dengan wang pinjaman pelajaran. Perlu lebih berhati-hati semasa menggunakan wang pinjaman agar tidak menjadi beban pada masa hadapan.

#ceritasyah

Thursday, November 17, 2016

Tong sampah



Terbongkok-bongkok lelaki tersebut menyelongkar setiap tong sampah yang berada di kawasan parking. Sambil sebelah tangan memegang sebuah guni berwarna coklat.

"Apa yang dicari ye?" bisik hati ku.

Kawasan RnR penuh sesak kerana cuti perayaan yang agak panjang. Aku hanya memerhatikan gelagat lelaki itu sambil menyuap nasi goreng yang dibeli dari sebuah warung di RnR tersebut.

Jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Kereta masih bergerak bertali arus memasuki kawasan RnR. Tanpa menghiraukan pandangan orang lelaki itu terus bergerak dari satu tong sampah ke tong sampah yang lain dengan pantas.

Setelah selesai aku menjamu selera terus aku mendekati lelaki itu, kebetulan dia pun sudah berada berhampiran dengan ku. Lalu aku terus menyapa dan beramah mesra dengannya.

Rupa-rupanya dia sedang mengutip tin-tin minuman dan botol-botol kosong. Dia yang mahu dipanggil pak Ali menceritakan setiap kali musim cuti panjang dia akan dapat mengutip banyak botol dan tin kosong.

Namun dia perlu bersaing dengan pekerja kebersihan di RnR tersebut. Mereka juga mengumpul barang-barang tersebut. Setelah cukup sebulan maka hasil pengumpulan tersebut akan di jual di kedai kitar semula.

#ceritasyah

Wednesday, October 19, 2016

Biji getah.




"Jom cari biji getah." jerit sepupu ku.
"Nak berapa banyak?" tanya ku.
"Cukup-cukup untuk buat main congkak lah." jawabnya.

Kami terus berlari memasuki kebun getah berhampiran rumah. Memang menarik pada masa itu, semua alat permainan ada di sekitar rumah. Tidak perlu dibeli cuma sedikit usaha yang diperlukan untuk mencari dan mengumpulkan biji-biji getah.

Selesai memungut biji-biji getah maka perlu ada lubang-lubang congkak. Sudu menjadi alat utama untuk mengorek lubang-lubang tersebut.

Tempat yang istimewa untuk bermain ialah di bawah rumah sejuk, redup dan selesa.

Setelah puas bermain congkak kami menukar permainan lain tetapi masih menggunakan biji getah. Kini kami beradu kekuatan biji getah.

Kita semua kreatif namun apabila dewasa kita mengehadkan pemikiran dengan peraturan-peraturan yang kita bina sendiri.

#ceritasyah

Thursday, September 8, 2016

Kertas A4




"Syukur kertas dah ada, pasti Anis yang bawa." ujar aku di dalam hati.

Setelah melihat satu bungkus kertas A4 terletak di atas meja dewan kuliah.

Hari ini akan diadakan satu ujian untuk pelajar fizik, aku ditugaskan sebagai pengawas ujian di dewan kuliah besar satu (DKB 1).  Anis yang hadir lebih awal sedang minum bekalan yang dibawa bersama-sama Di, Bib dan Sakir.

Jarang ujian dijalankan pada hari sabtu pagi. Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi dan pelajar sudah mula hadir ke DKB 1. Aku lihat di sekitar kawasan dewan macam akan diadakan program motivasi.

Tidak pasti pula dengan pelajar matrik atau pelajar dari sekolah sekitar. Terdapat beberapa orang pemudah cara sedang mundar-mandir menguruskan pendaftaran.

Aku menyapa seorang pelajar yang bertugas sebagi pemudah cara. Mengikut keterangan yang diberikan mereka mengurusakn program motivasi kepada pelajar yang akan menduduki UPSR sekolah sekitar matrikulasi.

Dia juga memaklumkan bahawa DKB 1 akan digunakan sebagai salah satu tempat acara namun untuk 2 jam pertama diberi laluan kepada kami untuk mengadakan ujian.

Tepat jam 9 pagi ujian dimulakan. Kertas A4 diedarkan sebagai kertas pengiraan tambahan. Ujian hanya memakan masa satu setengah jam. Pada jam 10.30 pagi ujian selesai dan pelajar telah beransur meninggalkan DKB 1.

Seorang pemudah cara datang dan mengambil baki kertas A4 di atas meja untuk di gunakan bagi acara mereka. Aku terus bertanya kenapa dia mengambil kertas tersebut? Sedangkan kertas itu adalah kami yang bawa.

Setelah dijelaskan oleh pemudah cara tersebut rupanya kami telah terguna kertas A4 milik mereka. Kami sebenarnya tidak membekalkan kertas tambahan kepada pelajar semasa melakukan ujian.

Inilah akibatnya apabila tidak menggunakan komunikasi yang berkesan. Hanya dengan beranggapan maka perkara ini telah berlaku. Anggapan menjadikan perkara tidak jelas maka boleh menyebabkan berlakunya salah faham.

Apabila ada sesuatu yang pelik maka segeralah bertanya agar mendapat maklumat yang betul.

#ceritasyah

Wednesday, August 17, 2016

Reostat




"Baiklah hari ini kita akan melakukan amali kapasitor. Sila ambil alat radas yang kita akan gunakan pada hari ini." Kata ku kepada pelajar-pelajar MS15.

Kelas menjadi riuh rendah dengan setiap ahli kumpulan mendapatkan alat radas masing-masing.

"Pastikan setiap kumpulan mendapat alat radas yang disenaraikan." Ulang ku dengan suara yang sedikit tinggi.

Tiba-tiba seorang pelajar mengangkat tangan dan bertanya tentang satu alat.

"Cikgu mana reostat?" kedengaran suara Solah di meja alat radas. 

"Ada kat atas meja tu lihat dengan teliti." Kata ku.

"Alat yang ada silinder hitam ni ke cikgu?" soal Min sambil mengangkat reostat.

"Betul tu." Ucap ku.

Semasa pelajar sedang memasang alat radas untuk amali, menjadi satu kemestian untuk ku memantau mereka agar pemasangan lengkap dan dapat beroperasi dengan baik. Daripada pemerhatian itu aku dapati semua kumpulan silap memasang reostat.

Timbul persoalan dalam diriku, adakah mereka pernah menggunakan alat tersebut? Lalu aku kumpulkan mereka dan meminta Solah menjelaskan cara dia memasang litar tersebut.

Solah dapat menceritakan dengan baik dan lancar namun apabila sampai pada sambungan reostat berlaku sedikit kesilapan.

Apabila litar disambung dan mengubah reostat tiada perubahan yang berlaku pada bacaan ammeter. Ini menimbulkan persoalan kepada semua pelajar.

Lalu aku bertanya "Apakah fungsi reostat?"

Dengan pantas mereka menjawab "Untuk menghalang aliran arus."

"Bagus. Kamu semua sudah faham fungsi reostat." Kata ku.

"Ini mungkin reostat dah rosak." kata Min.

"Kami dah pasang dan ubah tombol reostat tapi tak ada apa-apa perubahan pada arus." sambung Akila.

Yang lain hanya mengiakan apa yang dikatakan oleh Akila.

"Adakah sambungan yang dilakukan betul?" soal ku.

Semua mata memandang kepada sambungan pada reostat.

"Reostat mempunyai tiga poin sambungan, dua sambungan berada di bahagian hujung kiri dan satu di bahagian hujung kanan. Pada hujung kiri, point sambungan berada pada bahagian bawah dan atas, manakala pada bahagian kanan terletak di bawah." Jelas ku kepada mereka.

"Supaya reostat berfungsi maka satu sambungan perlu diletakkan pada point atas dan satu lagi pada point bawah." Sambung ku lagi.

"Sekarang perhatikan sambungan yang kamu lakukan." sambil aku menunjukkan pada sambungan tersebut.

"Yalah kita dah silap sambung. Patutlah tak ada kesan pada ammeter." ucap Solah.

Amali dapat dilakukan dengan lancar.

Setiap perkara yang kita ingin lakukan perlu ada ilmu supaya kesilapan dapat dikurangkan. Syukur mereka dah dapat belajar sesuatu pada hari ini. Namun setiap kesilapan akan ada ilmu yang menyusul.


#ceritasyah


Tuesday, March 15, 2016

Bola bowling



Semasa belajar dahulu kami kerap meluangkan waktu untuk bermain bowling. Tempat yang bisa kami pergi ialah di the Mines Serdang. Seronok apabila bermain ramai-ramai ni.

Macam jadi tradisi pula, setiap kali minggu peperiksaan kami akan ramai-ramai ke pusat bowling. Kononnya nak lepaskan tekanan setelah menjawab peperiksaan.

Kami bermain hanya 3 pusingan namun terasa amat lama, yelah kami ada lebih kurang 5 hingga 6 orang. Setiap kali ingin melakukan lontaran bermacam-macam aksi yang dilakukan.

Seorang kawan ni suka sangat menggunakan bolo yang berat katanya kuasa akan lebih tinggi masa hentaman. Maka lebih banyak pin yang akan jatuh.

Ada pula yang kononnya nak guna gaya putaran, macam pemain profesional. Kadang-kadang jadi, tapi banyak yang masuk longkang.

Paling seronok apabila melihat seorang kawan yang sangat beria-ia melontar bola bowling, tapi bola hilang di landasan. Rupa-rupanya bola terlepas ke belakang bukan di atas landasan yang sepatutnya.

Kami ketawa sehingga keluar air mata....

Masa mula-mula main tu banyaklah yang masuk longkang berbanding yang kena pin. Setelah beberapa kali melakukan lontaran adalah sesekali "strike".

Terasa rugi pula apabila "strike" yelah kita bayar untuk setiap pusingan. Jika sentiasa strike maka hanya 11 kali je yang kita boleh lontar. Jika tidak strike dapat lah 20 kali lontar. :-)

Kenangan masa belajar sangat indah apabila mendapat sahabat-sahabat yang sentiasa membantu di waktu senang atau susah.

#ceritasyah