Pages

Thursday, December 7, 2017

Dihujung 2017

Salam sejahtera, 

Terasa sekejap sahaja masa berlalu sekarang sudah berada di bulan Disember 2017. Bagi anak-anak ini adalah masa untuk berehat setelah berpenat mentelah secara formal di sekolah. Sekarang adalah masa menimba ilmu secara santai dan seronok. 

Ada yang pulang ke kampung berjumpa dengan datuk dan nenek serta ahli keluarga yang lain. Bersedia dengan aktiviti lasak dan pengembaraan merentas sawah bendang, kebun dan belukar. Pasti akan mendapat pengalaman baharu yang menyeronokkan.

Aktiviti baharu pada era milenium ini ialah kem-kem yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Ini bagi menambah kemahiran kepada anak-anak yang tidak pulang ke kampung. Ada kem pemantapan ibadah, kem yang melibatkan kemahiran dan sebagainya. 

Ibu bapa yang mempunyai kelapangan kewangan boleh menghantar anak-anak untuk menimba ilmu di kem-kem tersebut. Penganjur berusaha untuk memberikan input yang berguna mengikut modul yang telah dirancang. Ini akan melibatkan sahsiah serta membina jati diri anak-anak. 

Selain daripada aktiviti-aktiviti tersebut segelintir ibu bapa mengambil kesempatan cuti panjang untuk mengadakan majlis berkhatan. Proses berkhatan telah menjadi satu acara yang meriah bagi sesetengah taman perumahan. Malah pihak masjid atau surau telah menjadi penganjur dan memudahkan proses tersebut dilaksanakan di kawasan setempat.

Dengan cara ini kos akan dapat dikurangkan berbanding melakukan secara individu. Penggunaan kaedah berkhatan cara moden menjadikan proses ini lebih cepat dan selamat. Kadar penyembuhan
luka juga menjadi lebih cepat iaitu satu hingga dua minggu sahaja. 

Anak-anak yang bakal memasuki alam persekolahan pun mula teruja. Ibu bapa akan mula membeli belah kelengkapan sekolah bagi sesi baru. Bagi yang berkemampuan pakaian sekolah baharu diberikan supaya anak-anak lebih bersemangat untuk belajar. Pasaraya dan gedung-gedung pakaian sudah memulakan acara jualan kembali ke sekolah. 

Dengan tawaran yang menarik dan beraneka pilihan pakaian sekolah serta peralatan kelengkapan persekolahan. Sebagai pengguna yang bijak ibu bapa perlu memilih mengikut keperluan bukan kehendak. Latihlah anak-anak untuk melakukan pembelian yang berhemat supaya kita dapat manfaat untuk jangka masa panjang. Ajar anak-anak berkaitan pengurusan kewangan supaya mereka mengetahui apa yang penting dan perlu.

Pastikan kita melakukan aktiviti yang berfaedah bersama keluarga. Ini akan menjadi kenangan indah kepada anak-anak pada masa akan datang. Jadikan cuti ini lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan terutamanya bagi ibu bapa yang berkerjaya.