Pages

Saturday, February 24, 2018

Pilihan kita

Salam sejahtera,

Semoga kita sentiasa mendapat rahamt dan perlindungan dari yang maha kuasa.

Dalam kehidupan seharian pilihan adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Setiap pilihan yang diambil pasti akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Adakah pilihan yang dilakukan memberi lebih banyak manafaat atau mudarat. Itu sahaja yang perlu dipertimbangkan.

Kita melakukan pilihan yang dirasakan terbaik, namun apabila keputusan yang diperoleh tidak seperti kehendak maka akan timbuk kekesalan. Sebagai seorang yang percaya kepada Allah maka setiap perkara yang diperoleh adalah baik. Ini lah yang dilakukan oleh orang-orang beriman.

Pasti akan berkata sukar untuk sampai ketahap tersebut. Semamangnya betul namun kita lupa untuk memohon kepada Yang Maha Esa untuk melakukan pilihan terbaik. Mengikut seorang guru saya setiap pagi setelah bangun dari tidur pastikan kita berada dalam suasana yang tenang dan harmoni.

Supaya pada hari tersebut akan menjadi satu hari yang berkah dan mudah untuk dilalui. Pada masa yang sama mohon lah untuk melakukan pilihan  terbaik supaya mendapat keredaanNya. Itulah indahnya kehidupan seorang muslim, sepanjang kehidupannya adalah ibadah selagi ia ingat kepada tuhannya.

Apabila berlaku situasi begitu maka setiap keputusan atau pilihan yang dilakukan adalah dengan bantuan dari Allah.

Wednesday, February 14, 2018

Banyak kerja



Hari ini pelajar kelas mengeluh kerana terlalu banyak latihan yang diberikan. Mereka nampak tidak bersemangat disebabkan tidur lewat.

Beban tugasan yang banyak telah menyebabkan proses pembelajaran yang tidak seronok. Sepatutnya proses pembelajaran berlaku dalam suasana yang seronok agar minda mudah untuk menerima ilmu.

Kebelakangan ini proses pembelajaran telah menjadi proses untuk mendapatkan berapa banyak A. Jika seseorang pelajar tidak mempunyai A maka mereka tidak pandai. Ini merupakan keputusan yang tidak tepat kerana setiap pelajar mempunyai kemahiran dan tahap pemikiran yang berbeza.

Perkara ini telah dibincangkan dalam banyak artikel dan kajian namun pada hakikatnya ia hanya menjadi satu ilmu di dalam buku. Apabila sampai peringkat pelaksanaan persoalan berapa bilangan A yang akan disebut.

Proses kefahaman pelajar mengikut tahap pemikiran masing-masing ini menjadikan proses pembelajaran untuk setiap pelajar adalah berbeza. Sebagai contoh apabila belajar proses penambahan ada pelajar boleh terus faham apabila diceritakan proses penambahan, ada pelajar perlu nampak proses tersebut dan ada pelajar perlu melakukan proses penambahan supaya mereka faham.

Ini merupakan tiga kaedah pelajar menerima ilmu iaitu secara auditori (pendengaran), visual (penglihatan) dan kanestatik (perbuatan). Ada juga pelajar yang mempunyai tahap kefahaman yang tinggi, sederhanga dan rendah. Perbezaan tahap kefahaman ini akan menyebabkan masa untuk memahami sesuatu akan berbeza bagi setiap pelajar.

Masa yang lebih lama diperlukan oleh pelajar yang berada pada tahap kefahaman rendah. Walaupun belajar perkara yang sama di dalam kelas pelajar tersebut memerlukan masa yang lama untuk menyusun maklumat dan seterusnya memahami proses tersebut.

Bagi pelajar mereka seharusnya mengetahui teknik belajar yang berkesan bagi diri masing-masing supaya proses pembelajaran dapat dilakukan dengan lebih cepat. Peralihan ilmu akan berlaku walaupun mengambil masa yang lama. Namun jika pelajar mengetahui kekuatan diri masing-masing maka proses pembelajaran boleh berlaku dengan lebih cepat.

Kenali diri agar tidak terbeban semasa proses pembelajaran.

#ceritasyah

Saturday, February 10, 2018

Kenangan 1

"Min boleh tolong beli keropok dan 2 bungkus mee goreng?" tanya aku kepada Amin yang baru siap mentelaah.

Aktiviti yang dilalui saban malam selepas "prep".  Walaupun ada minum malam disediakan di dewan makan. Biasanya air teh o dengan biskut kering tiga keping seorang. Ia mengikut menu yang telah disediakan.

Apabila menu biskut kering atau biskut nyor kehadiran minum malam akan kurang, ini memberi peluang untuk mendapat lebih. Malam "burger bodo" hanya ada daging dan sos dihimit roti hampir semua pelajar akan turun minum.

Apapun rumah warden tetap menjadi tumpuan kerana ada menyediakan jualan makanan seperti mee goreng, keropok, pisang goreng, nasi lemak dan bihun goreng.

Berada di aspura pada tahun 1991 dan 1992 adalah pertama kali berjauhan dari keluarga. Asrama harian tersebut merupakan penginapan yang disediakan oleh seolah kepada pelajar yang tinggal jauh dari sekolah. Kemudahan dengan dua blok kediaman serta satu dewan makan menjadi pelengkap kepada asrama tersebut.

Satu blok untuk pelajar lelaki yang diberi nama Aspura dan satu blok untuk pelajar perempuan bernama Aspuri. Bilangan pelajar lebih kurang 100 hingga 130 orang terdiri dari semua aliran pengajian dan tingkatan.

Muhaimin merupakan salah seorang kawan yang menginap bersama dalam satu dorm. Pada waktu itu penghuni setiap dorm terdiri daripada pelajar tingkatan 3 dan 4. Ketua asrama pada masa itu ialah dari pelajar tingkatan 6 atas iaitu pelajar pra U. Terdapat 4 dorm yang menempatkan 20 orang pelajar.