Pages

Tuesday, January 30, 2018

Penyapu lidi




"Pergi ambil dua pelepah kelapa kat belakang rumah" arah chek.

"Pasti nak buat penyapu ni" getus hati ku. Maklumlah penyapu kat tepi tangga tu dah semakin kecil.

Di kampung semua barang mudah untuk di peroleh nak buat penyapu lidi ambil je pelepah kelapa yang ada di sekitar rumah. Jika pokok kelapa tinggi tunggu pelepah kering jatuh.

Dapatlah seikat dua penyapu dalam sejam meraut beramai-ramai. Biasanya aktiviti meraut lidi akan dilakukan di hadapan rumah atau di atas gere di bawah pokok rambutan.

Sambil makan pisang goreng atau colek buah jambu atau pauh muda. Memang satu aktiviti yang mengeratkan silaturahim antara keluarga dan jiran tetangga.

Itulah aktiviti petang yang dilakukan untuk mengisi masa lapang. Yelah jika ada lebihan boleh dijual di pasar Jelawat. Seikat lidi yang dijual biasanya seringgit hingga seringgit lima puluh sen. Bergantung kepada saiz seikat.

Sambil melakukan aktiviti petang boleh menjadi sumber rezeki kepada penduduk kampung. Berbekalkan sumber semulajadi di sekitar rumah serta sedikit usaha maka adalah rezeki.

Selain daripada lidi, daun yang lebih boleh dijadikan alat mainan seperti serunai, hiasan bunga dan bola. Hanya perlu kreatif untuk melipat dan menggulung daun kelapa.

Itulah sumber permainan yang terhasil dan digunakan pada masa tersebut. 

#ceritasyah


Friday, January 19, 2018

Troli



Hari yang cerah dan tenang ini memang sesuai untuk pergi membeli belah. Barangan keperluan pun dah semakin kurang. Selesai solat zohor terus ke sebuah pasar raya berhampiran rumah.

Banyak yang terasa nak beli, namun bajet hari ini hanyalah RM50. Perlu ambil yang paling perlu sahaja. Dengan senarai perbelanjaan di tangan terus ke rak barangan tersebut. Satu persatu barangan dibelek dan diteliti. Mengikut keperluan dan ada dalam senarai yang dirancang.

Setiap kali pergi membeli belah sediakan senarai yang hendak dibeli supaya tidak terlebih bajet. Kenal pasti keperluan atau kehendak serta keutamaan produk yang hendak dibeli.

Setelah selesai mendapatkan apa yang tersenarai, terus tinjau jika ada produk murah. Kebiasaannya akan ada produk yang diturunkan harga terutamanya melibatkan sayur dan buah-buahan.

Apabila ada produk yang diturunkan harga maka sangat-sangat menjimatkan. Ini merupakan salah satu cara untuk berjimat pada masa kegawatan ekonomi.

Semasa beratur di kaunter sempat melihat kepada pelanggan di hadapan dengan troli yang penuh barang keperluan dapur. Selesai sahaja mengira semua produk yang dibeli jurujual menyatakan harga. Sungguh menguja kan dengan troli yang penuh memerlukan RM527 untuk sekali berbelanja.

Itulah persiapan yang perlu apabila ingin keluar membeli belah. Semua orang perlu bijak melakukan pilihan. Selain daripada senarai membeli-belah bajet juga perlu dilakukan supaya tidak berlaku kekurangan wang semasa berbelanja.

Jadilah pengguna yang bijak.

#ceritasyah

Wednesday, January 10, 2018

Walkman



Pertengahan 90an walkman merupakan kegilaan bagi setiap remaja. Hampir semua orang mempunyai walkman. Pada waktu tersebut walkman digunakan untuk mendengar kaset dan radio semasa belajar.

Bagi mendapatkan walkman berbagai-bagai cara dilakukan antaranya ialah mencari kerja sambilan, menabung dan menjual botol atau tin kosong. Kepuasan akan tergambar di wajah apabila berjaya mendapatkan walkman dan di tayangkan kepada kawan-kawan.

Paling utama dalam kehidupan ini apabila berkehendakkan sesuatu segala perkara sanggup dilakukan. Itulah pentingnya perlu ada matlamat dalam kehidupan.

Walkman itu hanyalah sebagai contoh satu matlamat jangka pendek. Apabila berjaya mendapatkannya maka hati berasa sangat puas tambahan lagi dari hasil usaha sendiri.

Namun selepas beberapa bulan maka akan ada matlamat baru yang hendak dicapai. Sediakan matlamat dalam kehidupan ini agar setiap perkara yang dilakukan memberi makna untuk kejayaan.

Matlamat perlu besar namun kaedah untuk mencapainya boleh di pecahkan mengikut kesesuaian. Sebagai contoh untuk menghasilkan sebuah buku dalam tempoh setahun. Maka beberapa pencapaian kecil boleh dijadikan sebagai penanda kejayaan buku tersebut.

Dalam tempoh dua bulan perlu melakukan kajian bahan untuk penulisan. Proses penulisan dilakukan dalam tempoh empat bulan, manakala penyuntingan dalam tempoh dua bulan. Manakala proses percetakan dalam tempoh dua atau tiga bulan. Maka sebuah buku telah berjaya di hasilkan. Tahniah.

Itulah contoh perancangan yang dilakukan bagi mencapai sesuatu matlamat. Lakukan perancangan sekarang supaya jalan lebih jelas dan terang.

#ceritasyah


Thursday, January 4, 2018

Doa Malaikat

Salam sejahtera,

Semua pembaca sekalian akan sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan dari Yang Maha Esa, aminn….

Baru-baru ini ada mendengar ceramah dari seorang ustaz di YouTube. Ia berkaitan dengan doa yang dimakbulkan. Biasanya doa yang makbul adalah dari insan yang dekat dengan Pencipta dan di senangi oleh Pencipta.

Bagi masyarakat kita orang alim merupakan pilihan untuk memohon doa apabila ingin menghadapi sesuatu. Seperti ingin memohon pekerjaan, anak ingin menduduki peperiksaan dan bermacam-macam-macam perkara lagi.

Selain dari orang alim kita juga boleh mendapat doa dari para malaikat. Malaikat merupakan makhluk yang paling taat dan patuh pada setiap arahan Yang Maha Esa. Sangat beruntung apabila malaikat dapat mendoakan kita. Pasti makbulkan.

Kita boleh mendapatkan doa malaikat apabila mendoakan saudara secara diam-diam tanpa diketahui saudara tersebut. Maka malaikat akan menyatakan memohon kepada Allah perkara yang di mohon kepada saudara tersebut kembali kepada yang mendoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata ‘aamiiin’ dan engkau pun mendapatkan apa yang dia dapatkan.” (Hadis Riwayat Muslim dari Ummud Darda’ r.a., Sahih Muslim no. 2733)

Perbanyakan doa kebaikan kepada saudara terutamanya kerabat agar kita pun mendapat apa yang didoakan tersebut. Selain daripada itu malaikat juga berdoa kepada sesiapa yang mengeluarkan  sedekah pada waktu subuh.

Malaikat akan mendoakan agar rezeki bagi yang mengeluarkan sedekah pada waktu subuh sentiasa melimpah dan mudah, manakala bagi yang bakhil maka didoakan agar rezeki mereka ditahan pada hari tersebut.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :

“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq’. Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang kedekut’ “(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a., Sahih Bukhari no. 1442 dan Sahih Muslim no. 1010)


Berdoa dan sedekah adalah dua perkara yang mudah untuk dilakukan setiap hari. Jadikan sebagai amalan yang berterusan supaya ia menjadi tabiat hidup. 

#ceritasyah