Syukur Alhamdullilah,
Banyak ilmu yang diperolehi dalam minggu ini, biasalah apabila kita menghadiri sesuatu seminar atau bengkel maka banyak yang akan kita perolehi. Terkadang terasa macam terlebih maklumat, namun yang pasti makin kita belajar makin banyak yang kita tidak tahu.
Seperti firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud, "Kalau sekiranya lautan laksana tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, nescaya akan keringlah lautan itu sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku, dan walaupun didatangkan lagi sebanyak itu sebagai tambahan." Ilmu Allah sangat luas untuk kita pelajari, kerana itulah satu cara untuk kita mengenal Tuhan.
Apakah yang kita akan lakukan dengan maklumat yang diketahui? Itu merupakan persoalan yang perlu ditanya setiap kali selepas seminar atau bengkel. Ramai dikalangan kita yang mengikuti seminar hanya mengikut kawan bukan dengan kehendak sendiri. Tidak mengapa kerana itu merupakan permulaan untuk berubah.
Yelah apabila kita menghadiri sesuatu seminar atau bengkel kita akan mendapat ilmu baru, maka itu adalah langkah menjadi lebih baik dari semalam. Ini menjadikan kita sebagai orang yang berjaya kerana kita telah menambah nilai diri. Adalah lagi baik apabila kita sudah mempunyai ilmu dan segera mengambil tindakan.
Beza antara orang gagal dan berjaya ialah berapa cepat tindakan yang diambil. Menurut Dr. Azizan Osman ramai orang yang gagal kerana tidak memulakan tindakan. Itulah kesalahan utama bagi mereka yang ingin berjaya. Kita sudah pasti ingin menjadi orang yang berjayakan. Oleh itu mulakan tindakan sekarang dengan ilmu yang kita perolehi.
Walaupun tindakkan kita itu kecil pasti akan memberi kesan yang besar terhadap kehidupan kita. Seperti sebuah kapal yang belayar, dengan sedikit perubahan arah akan menjauhkannya dari destinasi yang ingin dituju. Namun kita lakukan perubahan bagi mencapai matlamat atau impian yang dirancang.
Pastikan perubahan yang dilakukan itu berlaku secara istiqamah agar hasilnya berkekalan. Teruskan berubah dan bertindak.
Sekian.