Pages

Wednesday, September 12, 2018

Kilas dalam Kias


Ulasan Buku
Tajuk: Kilas dalam Kias
Penulis: Pahrol Mohamad Juoi
Penerbit: Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.
Tahun Terbit: 2017
ISBN: 978-967-15561-0-8
Harga: RM25.00

Buku setebal 210 halaman ini mengandungi 22 bab yang menyentuh pelbagai situasi masyarakat di sekitar kita. Penyampaian secara santai menggunakan dialog percakapan seharian menjadikan setiap cerita yang disampaikan hidup dan dekat di hati. Penggunaan dialog dan monolog menjadikan buku ini dekat kepada pembaca.

Seperti kata penulis dakwah boleh dilakukan dengan berbagai cara mengikut keadaan dan situasi penerima. Namun prinsip asas adalah kasih sayang. Semasa melakukan dakwah, kasih sayang diterjemahkan dengan cara hikmah, pengajaran yang baik dan berdebat yang baik.
Profesor Dr. Hamka menegaskan,

“Dakwah itu mengajak, bukan mengejek. Dakwah itu menyejukkan bukan memojokkan. Dakwah itu mengajar, bukan menghajar.”

Setiap bab memberikan situasi yang berbeza namun sangat terkesan bagi yang membaca. Secara umum terdapat kisah keluarga, kisah orang agama dan kisah kehidupan Islam. Salah satu kisah menceritakan bagaimana seorang isteri yang menjaga agama berjaya mengislamkan suami dan seluruh keluarga suaminya. Cerita yang dikisahkan oleh suami memberikan satu saranan bahawa doa adalah senjata yang paling ampuh namun bukan dalam tempuh yang singkat.

Kisah orang agama dan masjid juga menjadi satu fokus yang unik oleh penulis. Melalui bab bertajuk “Bila orang agama tidak ‘beragama’”, “Apabila orang masjid memboikot” dan “’Agama’ orang agama”. Antara isu diketengahkan ialah pandangan masyarakat kepada golongan agama yang tidak melaksanakan Islam dengan betul. Pemilihan fokus dakwah yang menjadikan Islam sebagai alat untuk mencapai sesuatu. Serta dakwah secara serkap jarang dengan orang yang belum dikenali. Ini dapat membuka minda pembaca supaya sentiasa menjadikan Islam sebagai landasan utama.

Sebagai contoh ungkapan “untuk maju kita mesti amalkan Islam” dengan “amalkan Islam kita akan maju”. Ungkapan seperti mempunyai maksud yang sama namun sebenarnya amat jauh sekali pengertiannya. Mengamalkan ajaran Islam akan menjadikan kita lebih bahagia dan model kepada Islam. Dengan akhlak pasti akan ada yang tertarik dengan Islam.

Namun pada masa kini kita lebih suka untuk menjadikan Islam sebagai alat bagi mencapai sesuatu hajat. Cara tersebut menjadikan kita lebih sukar untuk melakukan dakwah kepada masyarakat. Pandangan yang negatif juga menjadi penghalang kepada kejayaan. Penulis juga ada menyentuh pada sesuatu masa perlu juga untuk kita mempunyai ilmu supaya tidak terpedaya dengan orang yang cuba mengambil kesempatan.

Walaupun kita bijak namun tidak berilmu akan menjadikan kita mangsa kepada keadaan. Maka penuhi dada dengan ilmu dan berserah kepada Pencipta untuk memandu kita dalam kehidupan ini. Apabila ditimpa musibah penulis ada berkongsi doa untuk di amalkan bagi memudahkan urusan.
“Wahai tuhan yang Maha Hidup, Wahai Tuhan yang Maha Berdiri sendiri. Dengan rahmat Mu aku memohon pertolongan. Perbaiki lah untuk ku urusan ku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”

Amalkan doa tersebut supaya mendapat pertolongan Allah. Sebagai seorang hamba yang sentiasa ingin berada dalam kebahagiaan kita perlu tahu apakah jenis kebahagiaan tersebut. Perkara berkaitan dengan kebahagiaan disebutkan dalam bab 16. Kebahagiaan adalah sesuatu yang subjektif, ia perlu dirasakan bukan dilihat. Kita menjadi tidak bahagia apabila kita menyandarkan kebahagiaan kepada sesuatu seperti bila kaya maka bahagia, ramai kawan baru bahagia dan bermacam-macam lagi.

Kebahagiaan terletak dalam diri kita mengikut acuan yang disediakan. Kebahagiaan orang tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur kebahagiaan kita. Setiap orang mempunyai tahap kebahagiaan yang berbeza. Kehidupan adalah satu perkongsian bukan satu persaingan, maka jalani hidup kita mengikut kemampuan dan masa kita.

Kebahagiaan akan dapat dirasai apabila kehidupan ini dirasakan sebagai satu tanggungjawab. Perlu dilakukan mengikut keperluan dan masa yang sesuai. Bukan menjadikan orang lain sebagai ukuran dan persaingan. Penulis juga ada menceritakan berkaitan denagn takdir, terutamanya berkaitan dengan jodoh. Sebagai hamba kita perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah, kerana Allah adalah mengikut sangkaan hambanya.

Sentiasa bersyukur dan bersedekah boleh dijadikan amalan untuk kita menerima segala suatu yang berlaku terhadap diri dan keluarga.

Buku ini sesuai untuk bacaan semua lapisan masyarakat, sesuai untuk dijadikan sebagai bahan perbincangan bersama keluarga dan sahabat.

Kesimpulan

Proses dakwah mempunyai banyak cara namun melalui sikap dan akhlak adalah cara yang paling mudah untuk dilakukan seharian.

Islam perlu dijadikan matlamat, bukan sebagai alat.

Sentiasa bersyukur dan berdoa bagi mencapai kebahagiaan dan berkongsilah untuk berjaya.

#ceritasyah



Wednesday, September 5, 2018

Penulis


Salam sejahtera,

Saya mendoakan anda sentiasa sihat dan mendapat keberkatan dalam apa jua yang dilakukan pada hari ini. Aminn.

Hari ini sempat pergi berjalan-jalan ke Tesco dan Giant. Alang-alang dah sampai ke Tesco singgah sekejap di kedai buku. Bukan nak beli pun cuma nak lihat tajuk-tajuk buku. Ingat hendak singgah sekejap namun hampir sejam melihat buku yang berbagai jenis. Pastikan menjadi rutin supaya lebih banyak maklumat yang diperoleh dari tajuk-tajuk buku terkini di pasaran.

Ramai penulis baharu yang muncul, ini berkat usaha mereka meluahkan perasaan dengan penulisan di blog dan FB. Hasil nukilan yang bertahun-tahun akhirnya menjadi buku. Malah mereka sendiri pun tidak berniat untuk menjadikan buku namun penerbit yang mencari mereka. Inilah hasil apabila kita sentiasa komited melakukan sesuatu yang diminati. Perkongsian perkara yang baik pasti akan menghasilkan pulangan yang baik.

Pemasaran buku pada masa kini amat berbeza kerana penulis juga menjadi satu ikon yang perlu menarik peminat sendiri. Penulisan adakah semata-mata bakat? Bakat dapat menjadikan penulis itu mudah untuk bermain bahasa. Mengikut tuan Zamri Muhammad jurulatih penulisan, setiap penulis perlu lebihkan proses pembacaan supaya lebih banyak idea boleh dikembangkan.

Manakala bagi meningkatkan pengetahuan pembacaan perlu dilakukan dalam bidang yang ingin dikuasai. Seperti kata pakar kewangan tuan Azizi Ali, bagi menjadi pakar dalam sesuatu bidang kita perlu membaca 20 buku berkaitan dengan bidang dalam masa tiga tahun. Ia bukan sekadar membaca namun perlu memahami isi-is penting sesebuah buku.

Lebih banyak maklumat yang dimasukkan dalam minda lebih mudah untuk kita menulis dan meluahkan kembali maklumat berkaitan bidang. Penghasilan penulisan akan menjadi lebih bernas dan dapat di kongsi dengan orang ramai.

#ceritasyah